Seorang lagi anggota maut, TUDM akan tubuhkan Lembaga Siasatan

Dari kiri: Mohd Iqmal dan Syuib yang meninggal dunia dalam insiden letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di Tampin pada Ahad.
Dari kiri: Mohd Iqmal dan Syuib yang meninggal dunia dalam insiden letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di Tampin pada Ahad.
A
A
A

TAMPIN - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang jurulatih yang terbabit dalam insiden letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di sini meninggal dunia pada Ahad.

Markas Tentera Udara dalam kenyataannya berkata, Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin, 33, yang merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan meninggal dunia jam 5.45 petang ketika menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor.

Seorang lagi jurulatih yang dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam kejadian tersebut iaitu Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, kini masih menerima rawatan di hospital sama dan dalam pemantauan rapi serta dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu anggota yang dilaporkan meninggal dunia di lokasi pada jam 12.10 tengah hari sebelum ini ialah Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, berasal dari Lenggeng.

Beliau merupakan penuntut bagi Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 di INSTAR," katanya.

Menurut kenyataan itu, waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

“Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan TUDM serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang juga merupakan kehilangan besar kepada TUDM.

“Didoakan agar roh kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. Selain itu, diharapkan urusan rawatan kepada anggota yang cedera dipermudahkan, dilaksanakan dengan segera serta dikurniakan dengan kesembuhan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak TUDM meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.

TUDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohamad Hasan ucap takziah keluarga mangsa letupan bom lempar

Anggota TUDM maut, 2 jurulatih cedera sesi latihan di Gemas