Mangsa banjir di Membakut meningkat, 94 mangsa dipindahkan

A
A

KOTA KINABALU - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Membakut meningkat kepada 94 orang setakat 8 pagi ini berbanding 14 orang malam tadi.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan hari ini, mereka terdiri daripada 50 dewasa, 42 kanak-kanak dan dua bayi dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Membakut.

"Jumlah mangsa banjir itu membabitkan 34 keluarga dari 11 kampung yang terjejas ekoran banjir yang berlaku sejak semalam," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata antara kampung yang terjejas banjir ialah Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baru, Kayai dan Lampuas.

Selain APM, pemantauan banjir turut membabitkan anggota bomba dan penyelamat, polis, Pejabat Daerah Beaufort, Pejabat Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am. - Bernama