Sindiket 'abang botak' jual MyKad palsu tumpas

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Sindiket 'abang botak' yang menjual MyKad palsu dan MyKad milik orang lain kepada rakyat asing tumpas apabila sembilan lelaki termasuk ‘abang botak’ ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Keteri di sini, hari ini.

Pengarah Imigresen Perlis Basri Othman berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan di premis kediaman pada pukul 1 pagi itu berusia antara 27 dan 49 tahun dan pihaknya turut merampas sijil kelahiran palsu, telefon bimbit serta beberapa kad lain.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Abang Botak berusia 39 tahun yang dipercayai tekong sindiket itu serta lapan lelaki warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan Mykad palsu dan Mykad milik orang lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai menjual MyKad palsu dan MyKad yang dicuri itu melalui orang tengah kepada rakyat asing untuk masuk ke negara ini dengan harga RM500 hingga RM1,000 sekeping.

Siasatan awal pihaknya juga mendapati kesemua mereka telah tiga bulan berada di negeri ini.

Basri berkata kesemua yang ditahan itu kini direman empat hari bermula hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: