Selamatkan Lapangan Terbang Tekah

Lebih 200 ahli Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping membantah penjualan tanah Lapangan Terbang Tekah kepada sebuah syarikat pemaju di luar perkarangan lapangan terbang itu petang semalam.
Lebih 200 ahli Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping membantah penjualan tanah Lapangan Terbang Tekah kepada sebuah syarikat pemaju di luar perkarangan lapangan terbang itu petang semalam.
A
A
A

TAIPING - Seramai 200 ahli Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping mengadakan perhimpunan aman membantah kemungkinan transaksi penjualan tanah Lapangan Terbang Tekah di sini kepada sebuah syarikat pemaju di luar perkarangan lapangan terbang itu hari ini.

Gabungan melibatkan enam NGO tempatan terdiri daripada Kelab Cintai Taiping, Taiping Heritage Society, Taiping Tourism Association, Warisan Anak-anak Kampung Pinang, Persatuan Penduduk Taman Saujana dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Perak itu turut menuntut pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam masa terdekat.

Presiden Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping, Abu Bakar Mohamed Ali berkata, pertemuan itu penting bagi membolehkan pihaknya menyerahkan memorandum bantahan penjualan tanah lapangan terbang pertama di Malaysia berkenaan di samping meminta penjelasan Ahmad Faizal mengenai status sebenar tanah tapak warisan dimiliki Perbadanan Menteri Besar (MBInc) Perak itu.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada sumber boleh dipercayai menyatakan tanah Lapangan Terbang Tekah seluas 40 ekar sudah dipindahkan hak milik kepada sebuah syarikat pemaju swasta bulan lalu.

Abu Bakar (tengah) mengadakan sidang media selepas mengetuai enam NGO warisan mengadakan perhimpunan aman di luar perkarangan Lapangan Terbang Tekah semalam.
Abu Bakar (tengah) mengadakan sidang media selepas mengetuai enam NGO warisan mengadakan perhimpunan aman di luar perkarangan Lapangan Terbang Tekah semalam.

"Maklumat itu diperkukuhkan lagi dengan pengesahan daripada Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) dan wakil syarikat pemaju swasta yang hadir untuk membuat kerja penandaan pada tanah itu.

"Cuma kami difahamkan tanah itu masih belum dimajukan kerana status tanah Lapangan Terbang Tekah diwartakan untuk tujuan pengangkutan dan belum diubah untuk tujuan pembangunan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perhimpunan aman di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, sekiranya berita tanah lapangan terbang itu ditukar hak milik kepada syarikat pemaju swasta berkenaan adalah benar, pihaknya mendesak kerajaan negeri segera mengembalikan semula status tanah tapak warisan itu kepada asal.

Artikel Berkaitan:

S/H: Lapangan terbang pertama di Tanah Melayu

Menurutnya, desakan itu penting bagi memastikan status Lapangan Terbang Tekah sebagai lapangan terbang Aerodrome pertama dibina di Tanah Melayu itu terus kekal, sekali gus menjadi salah satu khazanah warisan sejarah terdapat di bandar Taiping yang perlu terus dipelihara.

"Sejarah juga turut tercipta apabila seorang juruterbang solo wanita dari Amerika Syarikat, Amelia Earhart sempat singgah di Lapangan Terbang Tekah pada 7 Jun 1937 untuk mengisi minyak kapal terbangnya sebelum meneruskan misi penerbangan solo mengelilingi dunia ke Singapore dan New Guinea.

"Mengikut sejarah lapangan terbang itu, pada era pentadbiran British, ia digunakan untuk menerbangkan orang kenamaan British dari negara ini. Selain itu, pada tahun 1945, lapangan terbang ini turut menjadi lokasi pertemuan di antara Presiden Indonesia, Sukarno dan timbalannya dengan Dr Burhanuddin Helmi bagi membincangkan pembentukan Malaya Raya menggabungkan Malaya dan Indonesia," katanya.

Lapangan Terbang Taiping, Tekah menyimpan pelbagai kisah sejarah penting negara dan dianggap salah satu khazanah warisan bandar Taiping yang masih wujud.
Lapangan Terbang Taiping, Tekah menyimpan pelbagai kisah sejarah penting negara dan dianggap salah satu khazanah warisan bandar Taiping yang masih wujud.

Abu Bakar berkata, gabungan NGO itu turut menekankan kepentingan mengekalkan lapangan terbang itu bagi kegunaan kecemasan dan pendaratan bekalan makanan serta ubat-ubatan kepada rakyat Taiping sekiranya berlaku darurat.

Menurutnya, lapangan terbang itu ketika ini masih berfungsi sebagai lapangan terbang bagi aktiviti latihan payung terjun membabitkan polis dan tentera di samping menjadi lokasi pertunjukan belon udara panas dan kapal terbang kawalan jauh sebagai aktiviti rekreasi.

"Kami menuntut sekiranya tanah tapak warisan itu sudah dipindah milik, ia mesti dikembalikan kepada status asal dengan tanah lain dikurniakan kepada syarikat pemaju berkenaan sebagai galang ganti.

"Kami turut menggesa Lapangan Terbang Tekah diwartakan sebagai salah satu tapak warisan terdapat di Taiping kerana kewujudannya penuh dengan kisah sejarah yang perlu dipelihara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Taiping bakal hilang Lapangan Terbang Tekah?