132 kontena berisi sampah ditinggalkan di NCBT

Saidi (dua dari kanan) pada sidang media yang diadakan pagi tadi.
Saidi (dua dari kanan) pada sidang media yang diadakan pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebanyak 132 kontena yang mengandungi sisa plastik dan sampah dikesan dibawa masuk ke negeri ini dan ditinggalkan di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NCBT) sejak 1 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail berkata, kesemua kontena itu masih belum diikrar malah pemeriksaan mendapati ia tidak memiliki Lesen Import (AP).

Menurutnya, setiap kontena yang panjang 40 kaki itu membawa muatan plastik dan sisa sampah sehingga 28 tan.

"Sebelum ini kita mengesan terdapat 265 kontena mengandungi sisa sampah telah dibawa masuk ke negeri itu dan dikesan masih tersadai di pelabuhan sejak Januari lepas dan kini jumlahnya telah bertambah menjadi 397 buah kontena.

"Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kebanyakan kontena itu dari Kanada, Belgium, Jerman serta Amerika Syarikat dan ia diimport sebagai bahan kitar semula namun sebenarnya mengandungi plastik kotor serta sisa sampah," katanya pada sidang media di sini.

Saidi berkata, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu itu, kerajaan terpaksa menanggung jutaan ringgit caj pelabuhan untuk menyimpan kontena-kontena yang tidak diketahui pemiliknya.

Katanya, siasatan awal mendapati 132 kontena itu diimport oleh 11 syarikat di bawah kod palsu dan AP.

Katanya, sebanyak 116 kontena daripada 367 kontena itu telah dibuka kertas siasatan dan pihaknya turut mengenakan kompaun kepada 11 syarikat yang di kenal pasti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga berjaya mengenal pasti semua kontena itu dibawa masuk dari beberapa buah negara iaitu Hong Kong (94 kontena), Amerika Syarikat (68), Jerman (28), Kanada (20), Jepun (14), Finland (12), Greece (12), Australia (11), Sepanyol (5), Chile (3) dan masing-masing New Zealand serta Perancis dua kontena.