Ini antara sebab mengapa Tommy Thomas perlu letak jawatan

Asyraf Wajdi - FOTO ARKIB
Asyraf Wajdi - FOTO ARKIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO hari ini mendesak agar Tommy Thomas segera meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara sama ada secara sukarela mahupun dipecat oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya kerajaan berpegang kepada prinsip 'rule of law' dan memelihara kedaulatan undang-undang, maka Tommy didakwa tidak layak terus memegang jawatan tersebut.

"Terdapat 10 sebab mengapa beliau perlu meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara antaranya, pendedahan bekas peguam kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansur mengenai campur tangan Tommy di dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib selain wujudnya afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara mendeposkan Allahyarham Adib tidak dipukul sedangkan prosiding inkues belum pun selesai.

ARTIKEL BERKAITAN:

Inkues Adib: Akhirnya Syazlin bersuara

Peguam Negara beri empat sebab Syazlin diarah tarik diri

"Ini jelas menunjukkan betapa lemah dan kurang arifnya Tommy mengenai perjalanan inkues hingga menyebabkan kredibiliti beliau diragui untuk menjalankan tanggungjawab secara bebas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mendakwa Tommy secara jelas telah membelakangi prinsip ‘rule of law’ dan integritinya sebagai Peguam Negara berdasarkan beberapa tindakannya kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Wujudnya pendakwaan terpilih dan pengguguran pendakwaan misalnya pengguguran sepenuhnya kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng walaupun prosiding mahkamah telah pun berjalan dan saksi-saksi telah mula memberi keterangan di mahkamah.

"Beliau gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja mengenai kesan dan impak Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja-raja Melayu. Tommy jelas tidak menghormati keputusan Majlis Raja-raja Melayu dan kerajaan berkenaan Statut Rom dengan melibatkan diri dalam wacana awam yang secara terbuka mengkritik keputusan Kabinet dan memperlekehkan Raja-Raja Melayu," katanya.

Pada masa sama beliau berkata, antara sebab lain mengapa Tommy perlu meletakkan jawatannya adalah kerana kegagalannya untuk menasihati Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ini amat memalukan kerana akhirnya terbukti bersifat sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif malah berlakunya pembaziran masa serta sumber negara," katanya.

Sementara itu, beliau turut mendakwa Tommy sekali lagi membelakangi prinsip 'rule of law' dan kedaulatan undang-undang negara setelah menggugurkan sepenuhnya beberapa kes berprofil tinggi yang melibatkan hubungan diplomatik negara tanpa alasan munasabah.

"Contohnya seperti kes penderaan yang menyebabkan kematian pembantu rumah Indonesia Adelina Jerima Sau dan juga kes yang melibatkan dua suspek warga Vietnam dan Indonesia dalam kes pembunuhan warga Korea Utara yang dipercayai sebagai Kim Jong Nam, abang kepada Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un," katanya.