X

Kindly register in order to view this article
!

Tarik pelaburan syarikat Jepun lebih RM200 juta

Jimmy Puah Wee Tse
A
A

JOHOR BAHRU - Johor sedang dalam perbincangan dengan tiga syarikat Jepun bagi menarik pelaburan bernilai lebih RM200 juta.

Exco Pelaburan, Jimmy Puah Wee Tse berkata ruang pelaburan itu akan membuka sehingga 500 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

"Kami sedang dalam perbincangan dengan tiga syarikat di Jepun yang berminat untuk melabur dan buka kilang di Johor.

"Pelaburan yang diperkatakan ini bernilai lebih RM200 juta dan menjana sehingga 500 peluang pekerjaan bernilai tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Jimmy Puah turut melahirkan keyakinan Johor mempunyai ekosistem terbaik serta strategik untuk terus berkembang.

"Kita fokus pada sektor berteknologi tinggi, bernilai tinggi dan pelaburan berimpak tinggi dalam memastikan pertumbuhan yang mapan.

"Saya yakin Johor mempunyai ekosistem yang betul, ramai yang berkemahiran dan lokasi strategik dalam pasaran ASEAN yang berkembang serta akan muncul sebagai kuasa besar ekonomi baru di rantau ini," katanya.

Beliau sendiri akan mengetuai delegasi negeri ke minggu misi pelaburan bermula esok di Tokyo, Osaka Jepun dan Seoul, Korea Selatan.

Usaha ini merupakan salah satu promosi dan kerjasama dengan Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) serta subsidiari Khazanah Nasional Berhad~ i2M Ventures yang memfokus kepada pembangunan inisiatif promosi pelaburan strategik.

Dalam misi pelaburan dua tahun lalu, Johor berjaya menarik tiga syarikat Jepun yang membuka syarikatnya di Iskandar Puteri yang menjana 280 pekerjaan bernilai tinggi.

Kerajaan negeri dan i2M Ventures akan menganjurkan 'Peluang Kerjaya dalam Global Business Services Iskandar (COIGI)' di Tokyo esok bagi meningkatkan kesedaran tentang peluang pekerjaan di Iskandar Puteri yang mensasarkan individu boleh bertutur bahasa Jepun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!