Harris Baba ulang-alik Sabah KL setiap minggu

Harris Baba
A
A

DEMI minatnya bergelar anak seni, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Katakan, Harris Baba, sanggup berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur setiap minggu.

Jelasnya, tiada apa yang mustahil untuk berjaya dan jika itulah harga sebuah pengorbanan untuk perkembangan kerjaya yang bakal membuahkan hasil dan mengembalikan namanya di persada seni, Harris sanggup. Apatah lagi mendapat sokongan dan dorongan isterinya.

“Selepas berkahwin sehinggalah sekarang saya dan isteri, Nik Naziha Zawawi atau nama singkatannya Jiha menetap di Keningau, Sabah. Jadi, jadual saya agak sibuk sedikit apabila perlu berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur setiap minggu.

“Syukur, alhamdulillah saya dikurniakan seorang isteri yang sangat memahami dan menyokong minat saya ini. Biarpun perlu membahagikan masa antara kerja dan keluarga, saya tak rasa terbeban.

“Keluarga juga pada masa sama buat saya jadi lebih bersemangat untuk muncul semula dalam industri ini dan kembali mewarnai karier nyanyian,” jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Jejaka tinggi lampai itu selamat diijabkabulkan bersama suri hati pilihannya pada Mei 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aleena Ziya, 2, dan seorang anak lelaki bernama Muhammad Umar Baba yang kini berusia sembilan bulan.

Pemilik nama sebenar Khawaja Mohammad Harris Baba itu berkata, kemunculan semulanya ini disertai dengan sebuah mini album yang memuatkan enam buah lagu pelbagai genre hasil kolaborasi bersama komposer terkenal, Omar K di bawah syarikat rakaman World Peace Entertainment.

“Saya masih lagi seorang penyanyi cuma hilang seketika daripada industri hiburan atas urusan kerja di Sabah yang perlu dilaksanakan.

“Selain itu, saya juga memberi perhatian kepada keluarga kecil saya. Kini anak-anak semakin membesar jadi sudah tiba masanya untuk saya fokus semula kepada karier nyanyian.

“Insya-ALLAH, saya akan membuat kemunculan semula selepas hari raya ini dengan mengeluarkan mini album. Kesemuanya ada enam buah lagu pelbagai genre idea saya sendiri dan dibantu oleh komposer Omar K. Untuk muzik video, satu sudah siap dan berbaki satu MV lagi untuk disiapkan.

“Harapan saya agar peminat dapat terus menyokong kerjaya seni saya. Terima kasih juga kerana percayakan saya sejak awal pembabitan dalam bidang seni,” ujarnya teruja.

Ditanya mengenai bidang lakonan pula, anak jati kelahiran Singapura berusia 28 tahun itu memberitahu dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Bukan tidak minat berlakon cuma saya perlu fokus satu demi satu terlebih dahulu kerana tidak mahu lagu terbaharu ini gagal seperti mana single kedua Parah yang tidak menjadi.

“Sewaktu single itu keluar, saya pula sibuk menjalani penggambaran drama bersiri selama enam bulan. Disebabkan itu, saya tidak dapat berikan komitmen untuk promosi, lantas single kedua tidak menjadi berbanding lagu pertama yang lebih mendapat respon menggalakkan,” luahnya kesal.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia