Gimnas negara boleh takluk dunia

Nellie Vladimirovna Kim. - FOTO WOGymnastikA
Nellie Vladimirovna Kim. - FOTO WOGymnastikA
A
A
A

GIMNAS negara mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai jaguh dunia pada masa depan, demikian menurut penilaian bekas pemenang lima emas Sukan Olimpik, Nellie Vladimirovna Kim.

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) berusia 61 tahun itu percaya, Malaysia mempunyai ramai gimnas berbakat tetapi kekurangan jurulatih berbakat untuk membimbing mereka mengecapi kegemilangan di pentas dunia.

“Malaysia mempunyai ramai gimnas muda yang berbakat seperti apa yang saya lihat dalam sesi bimbingan hari ini. Bagaimanapun, masalahnya, anak-anak muda ini memerlukan jurulatih tempatan yang mampu membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Malangnya, terdapat bilangan kecil jurulatih di Malaysia dan oleh itu terpaksa mendapatkan khidmat jurulatih asing untuk mendidik jurulatih tempatan supaya membantu gimnas menampilkan persembahan terbaik masing-masing,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif, di sini, hari ini.

Nellie kini berada di negara ini sejak Selasa lalu untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dengan jurulatih kebangsaan serta gimnas muda negara di bawah program Duta FIG.

Mengulas lanjut, Nellie, yang juga timbalan pengerusi Persekutuan Gimnastik Belarus, berkata negaranya turut menghadapi masalah kekurangan jurulatih berkualiti kerana mereka lebih berminat untuk berhijrah ke negara lain yang menawarkan ganjaran yang lebih baik.

Katanya, Malaysia merupakan destinasi keempat Asia yang dikunjunginya tahun ini setelah mengendalikan program yang sama di Hong Kong, Thailand dan Vietnam.

Nellie merupakan bintang gimnastik tersohor dunia pada tahun 70-an apabila merangkul lima pingat emas dan sebutir perak ketika berusia 19 tahun pada temasya Sukan Olimpik 1976 di Montreal, Kanada dan dua emas pada temasya berikutnya di Moscow, Rusia pada 1980.

Artikel Berkaitan:

Selain Olimpik, beliau turut merangkul lima pingat emas dalam tiga Kejuaraan Dunia pada 1974 di Varna, Bulgaria, 1978 (Strasbourg, Perancis) dan 1979 di Fort Worth, Amerika Syarikat.

Selain itu, beliau turut mencapai dua pingat emas pada Kejuaraan Eropah pada 1975 di Skien, Norway dan 1977 di Prague, Republik Czech dan dua gangsa pada Piala Dunia 1979 di Tokyo.