Guan Eng dicabar jawab enam soalan berkaitan ekonomi negara

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencabar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk menjawab enam persoalan utama berhubung keadaan ekonomi negara.

Katanya, semakan terkini di laman Bank Negara Malaysia, sehingga April 2019 menunjukkan hutang langsung Kerajaan Persekutuan telah meningkat ke paras RM776.82 bilion.

Justeru, berlaku penambahan sebanyak RM35.77 bilion bagi empat bulan pertama tahun 2019, sekali gus menjadikan kenaikan berjumlah hampir RM89.96 bilion sejak Disember 2017.

"Data dan fakta menunjukkan momokan hutang negara mencecah RM1 trillion ini sebenarnya bakal menjadi kenyataan semasa Guan Eng menjadi Menteri Kewangan dan Pakatan Harapan (PH) memerintah Putrajaya!

"Manakala, cubaan-cubaan untuk berlindung di sebalik data-data ekonomi lain seperti nilai perlaburan masuk ke dalam negara dan nilai perdagangan antarabangsa, pada pengakhirannya tidak membayangkan keadaan sebenar di akar umbi," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Asyraf berkata, enam soalan tersebut ialah berhubung janji dan komitmen Kerajaan PH untuk mengurangkan jumlah hutang negara dan dana sumbangan rakyat melalui Tabung Harapan yang berjumlah RM202 juta tidak dimanfaatkan untuk melunaskan hutang-hutang negara.

"Ke mana pula dana yang dijarah dari Petronas sehingga RM80 billion disalurkan? Apakah benar dividen Petronas ini digunakan untuk pemulangan semula 'refund' cukai GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan Cukai Pendapatan tauke-tauke kaya-raya yang sebenarnya tidak disahkan oleh pihak Jabatan Audit Negara?

"Apakah pelan dan perancangan Kerajaan PH untuk mengurangkan hutang negara? Apakah jaminan Kerajaan untuk tidak lagi menerbitkan hutang-hutang baru yang pastinya akan terus membebankan negara?," soal beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Asyraf berkata, Pemuda UMNO mendesak dan menggesa supaya semua persoalan tersebut dijawab secara jujur dan tuntas oleh Guan Eng.

"Rakyat hari ini makin terasa kepayahan dan kesengsaraan lantaran kos sara hidup yang kian meningkat disebabkan kelemahan Dasar Fiskal Negara di bawah Menteri Kewangan," ujar beliau.