Piagam kerjasama Pas-UMNO dimeterai akhir Julai

Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

KOTA BHARU – Piagam kerjasama muafakat antara Pas dan UMNO bakal dimeterai akhir Julai ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa teknikal telah pun bermesyuarat dua kali manakala untuk jawatankuasa induk pula akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kita jangka awal Julai (mesyuarat) dan selepas itu hujung Julai kita akan adakan pengisytiharan bersama antara Pas dan UMNO,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau hadir Majlis Sambutan Hari Raya Pas Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah, di sini yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi Pas.

Turut hadir, kepimpinan tertinggi UMNO dan BN yang diketuai oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketika ditanya mengenai apakah isi kandungan yang terkandung dalam piagam kerjasama tersebut, Tuan Ibrahim berkata, biarlah ia bersifat ‘kejutan’ dan berharap semua pihak bersabar menunggu perkara tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkongsi, apa yang unik, semua perkara yang dihasratkan Pas hampir sama dengan apa yang dihasratkan oleh UMNO.

“Cuma beza nombor sahaja. Kandungan hampir sama. Ia sangat memudahkan kedua-dua pihak. Kita pihak jawatankuasa setiap parti akan teliti dalam masa tersekat ini dan kita ada mesyuarat kedua jawatankuasa induk sebelum buat keputusan.

“Untuk mesyuarat jawatankuasa induk nanti kita akan bergabung antara Pas dan UMNO iaitu 11 orang wakil dari setiap parti. Ia akan dibarisi oleh kepimpinan tertinggi masing-masing.

“Manakala untuk peringkat teknikal, ia akan dibarisi oleh lima wakil setiap parti. Untuk muktamar nanti pun, kita jangkakan ada usul akan mengenai kerjasama ini.

“Ini prosedur biasa dalam parti Pas. Buat masa sekarang ini, secara keseluruhannya, sokongan daripada ahli-ahli sangat positif, usul itu juga dalam konteks kerjasama,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia