Rabies: KKM sahkan kes ke-19 di Sarawak

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUCHING - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kes baharu rabies membabitkan seorang wanita dari Pending di sini yang telah meninggal dunia semalam, menjadikan 19 kes di Sarawak setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita berusia 61 tahun itu disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam.

“Dukacita dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia semasa dalam rawatan di wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 12 Jun, 2019 jam 10.47 malam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata wanita berkenaan mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanan pada 29 April lepas semasa cuba menghalau anjing tersebut.

Mangsa terbaharu itu telah mendapatkan rawatan di HUS pada 8 Jun dan telah dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit serta diberikan Rabies immunoglobulin (RIG).

Dr Noor Hisham berkata kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai, 2017 sehingga 12 Jun tahun ini adalah 19 kes melibatkan 18 kematian.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah mengeluarkan peringatan kepada semua pengamal perubatan di negeri ini agar memastikan pengurusan kes gigitan haiwan termasuk anjing dijalankan mengikut Panduan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan di Sarawak.

Manakala kes gigitan yang berisiko dan gagal mendapatkan rawatan susulan hendaklah dimaklumkan segera kepada pejabat kesihatan berhampiran supaya kes boleh dikesan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi mencapai Sarawak bebas rabies, orang ramai diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan program kawalan dan pencegahan rabies yang dijalankan,” katanya.- Bernama