ERL jalin kerjasama KL Hop-On Hop-Off

Hop-On Hop-Off
Hop-On Hop-Off
A
A
A

KUALA LUMPUR - Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali perkhidmatan KLIA Ekspres, akan terus menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan, untuk kekal relevan dalam industri kereta api.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, syarikat itu mahu meningkatkan penggunaan perkhidmatan kereta api sepanjang koridor tersebut, walaupun menghadapi persaingan, sama ada daripada pesaing langsung atau tidak langsung serta perkhidmatan e-hailing.

"Kami bukan satu-satunya menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai destinasi di sepanjang koridor itu. Oleh itu, kita perlu menyediakan perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan," katanya kepada pemberita.

ERL hari ini mengumumkan kerjasamanya dengan KL Hop-On Hop-Off dalam menyediakan cara terpantas untuk penumpang transit dengan masa menunggu sekurang-kurangnya lapan jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi memberikan ekspedisi lawatan ringkas ke Kuala Lumpur.

Ia menyasarkan penumpang dari Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah menerusi pakej tersebut.

Mohd Nadzmi berkata, pakej baharu ini merupakan cara ideal untuk pelawat kali pertama ke Kuala Lumpur untuk mengikuti lawatan sekitar ibu kota secara santai.

Beliau berkata, dengan Tahun Melawat Malaysia tahun depan, syarikat itu berharap iperkhidmatan tersebut akan mendapat sambutan.

Menurut Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, tahun 2018 menyaksikan 25.8 juta ketibaan pelancong, menyumbang pendapatan sebanyak RM84.1 bilion untuk negara.

Artikel Berkaitan:

Tahun ini, kementerian menjangkakan 28 juta ketibaan pelancong dan 30 juta pelancong pada 2020.

"Kami menjangkakan untuk tahun pertama dapat menjual 150 tiket setiap hari dan menjelang akhir tahun, jumlahnya akan meningkat kepada 1000. Kami berharap ia akan berkembang sekurang-kurangnya 20 peratus pada masa akan datang," kata Mohd Nadzmi.

Pakej yang dilancarkan hari ini termasuk tiket pergi-balik KLIA Ekspres dan perjalanan pergi-balik bas KL Hop-On Hop-Off.

Tiket berharga RM65 untuk kanak-kanak berumur antara 2 hingga 12 tahun dan RM140 bagi dewasa dan perkhidmatan KL Hop-On Hop-Off akan bermula dari KL Sentral. - Bernama