Demi generasi masa depan, hentikan politik lucah dan fitnah

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Demi generasi masa depan, permainan politik lucah dan fitnah harus dihentikan, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, hari ini merupakan hari yang sedih buat Malaysia kerana negara sekali lagi digemparkan dengan budaya politik kotor lagi keji.

Menulis di laman Facebooknya, Nurul Izzah menegaskan berita yang seharusnya diutamakan adalah berkaitan isu dan usaha penting dalam menangani masalah rakyat.

“Liputan media terhadap serangan peribadi dan fitnah tidak mempunyai objektif lain selain mencemar nama dan karakter individu, mengakhiri kerjaya politik, menjatuhkan maruah dan reputasi mangsa.

“Sudah sekian lama kita dimualkan dengan permainan politik lucah dan fitnah. Demi generasi masa depan, hentikan. Dengan sebab itu, saya berasa penuh empati dan simpati kepada mereka yang dimangsakan dengan politik keji sebegini,” katanya.

Tambah bekas Naib Presiden PKR itu, cara berpolitik masyarakat bertamadun adalah mengangkat wacana, idea, polisi dan dasar, bukan serangan peribadi dan pembunuhan karakter.

“Kesan negatif fitnah kotor tidak boleh sama sekali dipandang remeh kerana ia memberi kesan mendalam kepada semua yang terlibat, terutama terhadap keluarga mangsa. Saya berharap pihak yang terlibat terus bersabar.

“Tanggungjawab kita bersama menjauhkan diri kita daripada terjebak budaya politik fitnah yang amat menjengkelkan ini. Fokus kepada usaha membina Malaysia yang lebih baik,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam status sama, Nurul Izzah turut kongsikan terjemahan ayat al-Quran daripada surah An-Nur, ayat ke-19.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada penularan sebuah klip video seks mirip wajah seorang menteri yang tersebar sejak awal pagi kelmarin.