Samun kedai emas: 10 dipanggil beri keterangan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis telah memanggil sekurang-kurangnya 10 individu untuk dirakam keterangan berhubung kejadian samun kedai emas di Pusat Komersil Seksyen 7, Shah Alam, yang mengakibatkan lebih RM5 juta barang kemas dilarikan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, antara individu yang dirakam keterangan ialah pemilik premis, rakan kongsi perniagaan, pekerja dan juga pengawal keselamatan premis berkenaan.

“Ini prosedur biasa untuk kita melengkapkan siasatan bagi mengesan penjenayah yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.

Baharudin berkata, pihaknya juga sedang meneliti rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian serta premis berdekatan.

“Dekoder CCTV dibawa lari penjenayah, namun kita sedang melihat CCTV di sekitar tempat kejadian supaya membantu kita mengesan mereka.

“Selain itu, alat pemotong besi di dalam premis berkenaan diambil untuk dianalisa forensik,” katanya.

Semalam barang kemas bernilai jutaan ringgit dilarikan sekumpulan penjenayah profesional selepas memecah masuk melalui lubang saluran angin di bahagian belakang premis berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat minggu lalu iaitu pada hari raya ketiga namun hanya disedari pemilik premis kira-kira jam 10 pagi semalam selepas membuka semula perniagaannya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai emas dipecah masuk, pemilik rugi RM5 juta