Kindly register in order to view this article
!
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa lembaga pengarah SRC International Sdn Bhd tidak pernah menyoal atau mengesahkan sama ada Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Nik Faisal Ariff Kamil sememangnya satu-satunya orang yang ada hubungan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas ahli lembaga pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, 54, berkata sepanjang tempoh beliau bersama syarikat itu, tidak pernah ada mesyuarat antara lembaga pengarah dan Najib selaku penasihat emeritus SRC, tetapi semuanya menerusi Nik Faisal sebagai ‘penghubung’.
Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh pada hari ke-22 perbicaraan hari ini.
Kepada satu soalan peguam sama ada Nik Faisal satu-satunya orang yang ada hubungan dengan Najib sebagai penasihat emiritus akhirnya telah diselesaikan, saksi itu berkata, "Tidak”. Terdahulu, pada prosiding pagi, mahkamah diberitahu bahawa Najib yang juga Menteri Kewangan pada masa itu dan ketua Menteri Kewangan Diperbadankan, telah dilantik sebagai penasihat emeritus SRC International.
Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. -Bernama