Tiga lagi Orang Asli Bateq dimasukkan ke ICU

Dzulkefly bertanya sesuatu kepada peserta yang hadiri sesi Town Ha di Puspanitapuri di sini hari ini
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga lagi orang asli di perkampungan Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai akibat jangkitan pada saluran pernafasan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebelum ini hanya seorang yang menerima rawatan di ICU, iaitu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.

"Setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 99 orang asli menerima rawatan berkaitan kes ini. Daripada jumlah itu, seramai 40 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Ciku dan Aring.

"Sementara 22 lagi dirawat di wad biasa Hospital Gua Musang serta 18 di Hospital Kuala Krai," katanya kepada media pada Sesi Town Hall Bersama Pengamal Perubatan Am Swasta (GP's) di Puspanitapuri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pihaknya masih menunggu hasil ujian untuk mengenal pasti jenis mikroorganisma yang mengakibatkan kematian dua Orang Asli di Kuala Koh tersebut.

"Buat masa ini kita masih belum tahu virus atau jenis mikroorganisma yang menjadi punca kepada semua kes ini. Kita menunggu ujian serologi dan ‘polymerase chain reaction (PCR).

"Pihak polis juga sudah mula membuat sekatan untuk mengehadkan kemasukan orang luar ke kampung itu dan hanya petugas berkaitan dibenarkan masuk," katanya.

Menurutnya, pengamal media yang membuat liputan perlu melapor diri kepada Jabatan Kesihatan untuk memantau keadaan kesihatan selepas keluar dari kawasan itu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia