Dr Amalina sebak kejayaan pembedahan Ainul

Hantaran di laman Instagram Dr Amalina bersama ibu bapa Ainul sebaik selesai pembedahan di sebuah hospital kanak-kanak di London.
A
A

LONDON - Dr Amalina Che Bakri yang merupakan salah seorang doktor terlibat dalam pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada mulut Ainul Mardhiah nyata sebak ketika berkongsi mengenai kejayaan pembedahan bayi tersebut.

Menurutnya, Ainul dan kedua ibu bapanya telah dianggap seperti keluarganya sendiri.

“Apabila saya keluar dari dewan bedah dan melihat ibu bapa Ainul, saya tidak dapat mengawal emosi saya. Ia adalah perasaan yang bercampur-campur seperti perjalanan emosional dan pengalaman menggembirakan pada masa yang sama.

“Ainul, Wani (Nurul Erwani Zaidi) dan Safi (Ahmad Safiuddin Ahmad Razak) adalah seperti keluarga saya sendiri,” katanya dalam hantaran di laman Instagramnya.

Dr Amalina juga mengakui bahawa dirinya melalui saat gementar ketika lima jam pembedahan itu berlaku ke atas bayi berusia sembilan bulan tersebut.

“Alhamdulillah, Ainul, awak budak perempuan yang kuat! Setelah kira-kira lima jam bertarung di bilik pembedahan, ketumbuhan (berat 200 gram) berjaya dikeluarkan.

“Tidak dapat digambarkan betapa gementar saya, ketika tempoh pembedahan itu. Seperti bayi kecil, begitu halus, sangat cantik - 'jangan bimbang Ainul, semua orang ada di sini untuk membantu kamu',” katanya.

Katanya, pembedahan adik Ainul itu sangat berisiko tinggi yang memerlukan banyak persiapan dilakukan bagi memastikan bayi tersebut selamat.

“Pembedahan tersebut melibatkan pasukan ahli bedah dari pelbagai kepakaran termasuk perancang craniofacial, plastik dan perunding kepala dan leher yang diketuai oleh Prof David Dunway dan Juling Ong “Saya amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pasukan pembedahan. Ainul sedang dipantau selepas operasi dan dia stabil.

“Mari berdoa untuk pemulihan Ainul. Terima kasih atas semua doa anda,” katanya.