MOM cadang tubuh jawatankuasa pengurusan krisis

No Image Caption
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mencadangkan penubuhan jawatankuasa pengurusan krisis bagi menangani masalah yang timbul dalam persatuan sukan kebangsaan.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, cadangan itu timbul susulan krisis dalaman yang dialami Persekutuan Karate Do Malaysia (Makaf) baru-baru ini.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu turut dipersetujui Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla R.R.V Suppiah, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

“Kita telah berbincang mengenai perkara itu dan kita semua bersetuju bahawa perkara itu (jawatankuasa) perlu kita laksanakan. Datuk Nazif (Mohd Nazifuddin Najib) akan berhubung dengan mereka.

“Kita (MOM) yang akan wujudkan jawatankuasa itu dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, di sini.

Mohamad Norza berkata krisis dalaman bukan sahaja akan dialami Makaf, tetapi akan turut dihadapi oleh persatuan sukan kebangsaan yang lain. “Kita tidak mahu ada persatuan yang bermasalah jumpa MOM, selepas itu pergi ke peringkat kementerian dan kemudian ada juga sampai ke peringkat menteri.

“Pada saya, kita semua sebagai pemegang taruh sepatutnya duduk bersama dan melihat perkara ini dengan cara yang membolehkan setiap orang membuat keputusan bersama,” katanya.

Mohamad Norza berkata selain MOM, kementerian dan pemegang taruh berkaitan, jawatankuasa itu juga akan turut dibarisi Pesuruhjaya Sukan yang mempunyai kuasa terhadap perjalanan dan pertadbiran sesebuah persatuan sukan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Ahad lepas, 12 gabungan Makaf menzahirkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Majlis Eksekutif badan itu yang diterajui Tan Sri Mohd Ali Rustam berhubung pelbagai isu berkaitan sukan karate-do, sejak Februari tahun lepas.

Antara isu itu ialah dakwaan penyalahgunaan dana badan berkenaan untuk kepentingan peribadi dan kegagalan Makaf membantu atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dua belas daripada 22 anggota gabungan Makaf itu, termasuk Persatuan Karate Do Shin Ryu, Persatuan Karate Hayashi Ha Malaysia, Persatuan Karate Do Goju Kai Malaysia, Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa persatuan karate negeri mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi melancarkan undi tidak percaya terhadap Majlis Eksekutif MAKAF di Ipoh, baru-baru ini.

Untuk rekod, Makaf sejak 2010 sehingga kini diterajui presiden, Mohd Ali yang menewaskan pencabarnya Datuk Clement Soo pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun lepas. - Bernama