KKM pastikan petugas Bernama, RTM terjamin

Gobind (tengah) merakam kenangan bersama-sama pegawai dan kakitangan RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan Johor di pekarangan bangunan RTM Johor.
Gobind (tengah) merakam kenangan bersama-sama pegawai dan kakitangan RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan Johor di pekarangan bangunan RTM Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) akan memastikan kebajikan petugas media Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan sentiasa terjamin termasuk pekerja kontrak dan sambilan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya akan berbincang dengan Bernama dan RTM untuk melihat kaedah yang sesuai untuk menyediakan kemudahan bagi mereka bertaraf kontrak dan sambilan ini.

Antaranya termasuk mengkaji kemudahan seperti insurans, caruman Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memandangkan mereka sentiasa terdedah dengan risiko ketika keluar bekerja.

“Saya dapat aduan apabila mereka keluar untuk buat liputan sesetengah berita, ada risiko, kita kena faham, kadangkala keluar 24 jam, keluar ke tempat-tempat tertentu pada awal pagi...ini isu keselamatan yang kementerian perlu ambil perhatian, bagaimana kita boleh tingkatkan keselamatan dan isu berkaitan sebagainya.

“Saya kira masalah itu sudah wujud sejak sekian lama tetapi masih belum ada tindakan untuk atasinya. Saya akan berbincang dengan RTM dan Bernama supaya perkara ini dapat diketengahkan dan cari jalan penyelesaiannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Penyiaran Johor dan Jabatan Penerangan Johor.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana untuk menjaga kebajikan pemberita dan wartawan sambilan yang juga menghadapi risiko yang sama dengan mereka yang bertaraf tetap.

Terdahulu, Gobind mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Penyiaran Johor lebih sejam dan turut melawat Jabatan Penerangan Johor, selain menyampaikan taklimat kepada kakitangan RTM ketika sesi lawatan itu.

Beliau juga meluangkan masa mendengar taklimat operasi Bernama Johor yang disampaikan oleh Ketua Biro Bernama Johor, Nor Baizura Basri dan taklimat daripada Jabatan Penyiaran Johor yang disampaikan oleh Pengarah Penyiaran Johor, Abdull Hadi Yusof.

Artikel Berkaitan:

Selepas itu, beliau turut melawat sekitar Jabatan Penyiaran Johor serta sempat ke udara untuk Program Permata Johor FM selama lima minit, selain dijadualkan melawat Jabatan Penerangan selepas itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Abdul Muis Shefii, yang turut menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Penyiaran serta Pengarah Penerangan Johor, Zainudin Ismail. - Bernama