Banjir: Mangsa boleh pulang ke rumah

Khairul Anwar (kiri) melihat aliran air yang tesumbat di kampung berkenaan.
Khairul Anwar (kiri) melihat aliran air yang tesumbat di kampung berkenaan.
A
A
A

IPOH - Seramai 14 penduduk daripada dua keluarga yang masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, setelah pengumuman penutupan pusat berkenaan tengahari tadi.

Pegawai Daerah Kampar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar Khairul Anwar Ramli berkata, pengumuman berkenaan dibuat hasil pemantauan agensi-agensi keselamatan terlibat yang mendapati banjir telah surut sepenuhnya.

Malah menurutnya, kediaman kesemua 14 mangsa daripada dua keluarga berkenaan turut didapati selamat untuk diduduki semula kerana didapati tidak ada sebarang masalah daripada segi struktur.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang berkuatkuasa pada 11 Jun 2019 selepas makan tengahari jam 12.00 tengahari.

“Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dan bertungkus lumus selama menyeliakan PPS berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Untuk rekod, kesemua mangsa telah berada di PPS berkenaan yang dibuka mulai Hari Raya Aidilfitri ketiga lalu setelah rumah kediaman masing-masing dinaiki air.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menghubungi syarikat pengurusan dan penyelenggaraan jalan, Belati Wangsa untuk mencuci longkang bawah atau 'culvert' yang disyaki menjadi punca kepada masalah banjir di kawasan berkenaan.

Katanya, longkang bawah berkenaan dipercayai tersumbat dan ini menyebabkan air tidak mengalir keluar dari kawasan kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila culvert ini dicuci, kita yakin ia boleh mengalirkan air keluar dari kampung ini. Ini sekali gus akan membantu menyelesaikan permasalahan banjir yang berlaku di sini,” katanya.