Punca jangkitan masih belum dapat dipastikan: Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) tiba di Hospital Gua Musang (HGM) untuk mendengar taklimat berhubung jangkitan kuman yang menyebabkan 14 Orang Asli Kampung Kuala Koh meninggal dunia dalam tempoh sebulan lalu. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P Waytha Moorthy (kiri). - Foto Bernama
A
A

GUA MUSANG - Punca sebenar yang menyebabkan orang asli daripada suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang didakwa telah meninggal dunia sejak Mei hingga minggu lepas belum dapat dipastikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga hari ini, punca jangkitan masih belum dapat dipastikan.

Menurutnya, bagaimanapun keputusan ujian TB & Leptospirosis adalah negatif.

"Saya yakin jawapan kepada persoalan ini dapat diselesaikan segera. Syabas kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gua Musang dan Program Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan atas usaha dan komitmen anda semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, beliau bersyukur kerana telah dapat menziarah pesakit-pesakit Orang Asli di Hospital Gua Musang, di mana beliau bersama Senator Waytha Moorthy telah diberikan taklimat oleh pihak JKN Kelantan dan PKD Gua Musang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan cari punca sebenar kematian orang asli

Dalam pada itu, Dzulkefly juga sempat menyantuni Orang Asli kaum Batek di kawasan perpindahan ketiga, 2KM dari penempatan asal mereka di Kampung Orang Asli Kuala Koh.

"Sangat insaf melihat keadaan hidup penduduk orang asli di situ tanpa sumber air dan elektrik, hasil maklumat daripada Tok Batin, Raina Anjang.

"Saya telah dimaklumkan bahawa perkara ini telah diambil perhatian oleh Mesyuarat Jawatankuasa Antara Agensi hari ini dan tindakan susulan akan diambil," katanya.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia