Kerajaan cari punca sebenar kematian orang asli: Tun M

Tun Dr Mahathir bertanya khabar seorang penerima 'Rumah Peduli', Hanizah Mohammad,35, selepas merasmikan rumah tersebut di Lipat Kajang hari ini. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir bertanya khabar seorang penerima 'Rumah Peduli', Hanizah Mohammad,35, selepas merasmikan rumah tersebut di Lipat Kajang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Kerajaan sedang mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan orang asli daripada suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang didakwa telah meninggal dunia sejak Mei hingga minggu lepas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kematian mereka mungkin disebabkan sejenis penyakit namun penyakit tersebut masih belum dikenal pasti.

“Ya kita sedang mencari sebab kenapa mereka meninggal dunia dengan begitu ramai. Mungkin terdapat jangkitan dari satu jenis penyakit tapi waktu ini kita belum tahu apa jenis penyakit yang menyebabkan kematian mereka,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Rumah Peduli Negeri Melaka di Lipat Kajang di sini.

Hadir sama, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata, dua kes kematian orang asli tersebut disahkan berpunca daripada radang paru-paru.

Sehari sebelum itu, Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin menafikan dakwaan penduduk orang asli di perkampungan itu yang menyatakan 13 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit misteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: