Task force kesan, gali semula kubur 12 orang asli

Acryl (kiri) berbincang dengan anggota mengenai gerak kerja task force yang akan bermula esok.
Acryl (kiri) berbincang dengan anggota mengenai gerak kerja task force yang akan bermula esok.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) akan mewujudkan task force untuk mengesan dan menggali semula kubur 12 Orang Asli Bateq di Kampung Kuala Koh yang meninggal dunia sebelum ini bermula esok.

Pengarahnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bersama penghulu orang asli untuk meninjau serta mencari 12 mayat mangsa yang telah dikebumikan mengikut adat resam mereka di dalam hutan berkenaan.

“Pasukan kita satu platun sudah bersedia. Laporan polis telah dibuat bagi membolehkan kita kesan dan jalankan bedah siasat untuk kenal pasti punca kematian.

“Penghulu juga telah berikan senarai nama 12 mangsa berkenaan dan kita akan cari satu persatu, semuanya di dalam hutan.

“Kita akan siasat sama ada kematian mereka itu ada kaitan dengan dua mangsa yang dilaporkan sebelum ini atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di sini.

Acryl Sani ditemui pemberita ketika hadir membuat tinjauan di kawasan kampung tersebut bersama beberapa pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurutnya, walaupun pihaknya hanya boleh mengesahkan dua kematian sahaja sebagaimana yang dilaporkan, namun kematian selebihnya tetap perlu disiasat.

Malah beliau berkata, tinjauan juga akan dilakukan di kawasan berkenaan memandangkan wujud dakwaan mengatakan wabak penyakit tersebut dipercayai berpunca dari air tercemar yang digunakan kaum terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Saya dimaklumkan sampel air telah pun diambil oleh Jabatan Alam Sekitar dan kita tunggu keputusan itu disebabkan mereka lebih berautoriti. Jabatan Kimia juga akan terlibat dalam siasatan ini.

“Kita akan kenal pasti dulu dan lihat jika ada kecenderungan ke arah tersebut, kita akan jalankan siasatan dengan lebih lanjut lagi. Secara rasminya polis tidak menerima sebarang laporan mengenai pencemaran tersebut.

“Jadi kita nak tengok sejauh mana, jika berlaku, jika ada tanda-tanda yang cenderung ke arah itu, maka kita akan siasat, sebagaimana siasatan di Sungai Kim Kim di Johor baru-baru ini," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan 14 kematian dicatatkan melibatkan masyarakat orang asli berkenaan namun hanya dua kematian sahaja dilaporkan kepada pihak polis dan 12 lagi diuruskan mengikut adat resam kaum tersebut.