Jampi mentera juga tak mampu selamatkan Orang Asli Kuala Koh

Sebahagian orang asli yang masih terpinga-pinga memikirkan nasib mereka selepas ritual mentera digunakan tidak menjadi. (Gambar kecil: Mohd Fadzli)
Sebahagian orang asli yang masih terpinga-pinga memikirkan nasib mereka selepas ritual mentera digunakan tidak menjadi. (Gambar kecil: Mohd Fadzli)
A
A
A

GUA MUSANG - Ritual tradisional jampi mentera yang digunakan untuk mengubati penyakit misteri yang menghantui penduduk Orang Asli Kuala Koh tidak berhasil apabila seorang demi seorang mati di depan mata mereka.

Kematian mengejut seramai 14 orang dalam tempoh sebulan ternyata menjadi kebimbangan buat komuniti tersebut, malah sehingga kini, mereka tidak mengetahui punca sebenar kematian suku kaum Bateq itu.

Guru agama orang asli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Mohd Fadzli Mamok berkata, setiap kali orang asli jatuh sakit, empat hingga lima warga emas yang dikenali sebagai bomoh akan mengubati pesakit.

Katanya, ritual itu adalah amalan turun temurun sejak zaman nenek moyang lagi bagi mengusir penyakit misteri yang dihidapi pesakit.

"Mereka akan pergi ke tempat pesakit dan membaca jampi serta mantera yang diwariskan sejak dulu lagi yang menjadi kepercayaan mereka untuk kembali pulih.

"Sebelum ini, ada yang pulih jika ia melibatkan penyakit yang tiada penawar di hospital. Namun, dalam kes kematian mengejut ini, mereka tidak mampu membantu.

"Sebab itu, mereka merasakan ia bukan penyakit yang dikaitkan dengan gangguan makhluk halus," katanya lagi.

Tambah Mohd Fadzli, sebelum ini, dia pernah menguruskan jenazah anak tok batin, Romi Hamdan, 25, mengikut cara Islam yang meninggal dunia pada 28 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Hanya tujuh daripada 57 keluarga yang masih belum memeluk Islam. Tapi, apabila meninggal dunia, mereka mahu menguruskan mayat dengan cara adat.

"Saya hanya mengikut permintaan mereka, namun mereka masih berpegang kuat kepada amalan adat dan tradisi dengan membawa mayat naik ke atas pokok," katanya lagi.