Jumlah kematian akibat kemalangan menurun

Razarudin (dua, kiri) beramah mesra bersama sebahagian Exco-exco Kerajaan Perak yang hadir ke majlis berkenaan.
Razarudin (dua, kiri) beramah mesra bersama sebahagian Exco-exco Kerajaan Perak yang hadir ke majlis berkenaan.
A
A
A

IPOH - Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang 12 hari Op Selamat pada tahun ini berkurangan berbanding operasi sama tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sejak hari pertama sehingga semalam, jumlah kematian yang dicatat akibat kemalangan sebanyak 20 kes berbanding 29 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah kemalangan sepanjang Op Selamat itu meningkat daripada 1,578 tahun kepada 1,683 tahun ini dalam tempoh sama.

"Dari segi keselamatan di negeri ini masih terkawal dan dari segi jenayah, sangat berkurangan kerana tangkapan jenayah sangat memberangsangkan iaitu 65 peratus. Setiap 10 kes yang berlaku enam atau tujuh kes dapat diselesaikan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh warga PDRM Perak yang berjaya memastikan negeri Perak berada dalam keadaan terkawal," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Ketua PDRM Perak di Kediaman Rasmi Ketua Polis Perak, di sini hari ini.

Hadir sama beberapa Exco Kerajaan Perak antaranya Paul Yong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Wong May Ing, Tan Kar Hing dan Dr Abdul Aziz Bari.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang Op Selamat juga menurun apabila sehingga kini sebanyak 18,289 atas pelbagai kesalahan berbanding tahun 2018 iaitu 30,159 saman.

Katanya, jumlah kemalangan paling tinggi dicatatkan di jalan bandaran iaitu sebanyak 570 kes diikuti jalan persekutuan sebanyak 445 kes, lebuh raya (283 kes), jalan negeri (279 kes) dan jalan lain iaitu 106 kes.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya terus berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.