Kelantan sangkal dakwaan wujud aktiviti perlombongan

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan negeri menyangkal dakwaan mengatakan wujud aktiviti perlombongan di kawasan Kuala Koh, Gua Musang sekali gus menjadi penyebab kepada kematian misteri orang asli di kawasan itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri kini sedang menunggu maklumat lengkap daripada agensi yang terlibat untuk mengenal pasti isu tersebut dengan lebih lanjut.

“Setakat ini, jabatan kesihatan juga berkata ia berpunca daripada pneumonia, iaitu ‘airborn disease’ atau penyakit berkaitan dengan udara. Udara tiada kaitan dengan air. Kalau kita kata melombong, mungkin ia terlibat dengan pencemaran sungai dan sebagainya.

“Buat masa sekarang ini laporan awal mengatakan ia berkaitan dengan kesukaran untuk bernafas, ia berkaitan udara. Kalau nak kaitkan dengan perlombongan memang terlalu awallah, kenyataan itu tidak bertanggungjawablah,” katanya kepada media di JKR 10, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak pasti jika wujud perlombongan haram di kawasan tersebut dan masih menunggu laporan Pejabat Tanah dan Galian.

Malah, Mohd Amar berkata, ia termasuklah juga untuk memastikan sama ada wujud pelombong yang beroperasi walaupun lesen tamat tempoh.

“Maklumat penuh akan diperoleh kerajaan negeri dalam waktu terdekat dan Setiausaha Kerajaan Negeri juga dijadualkan mengadakan mesyuarat dengan agensi-agensi yang berkaitan petang ini.

“Setahu saya tiada perlombongan di kawasan itu. Jabatan Alam Sekitar juga beritahu tiada aktiviti perlombongan.

Artikel Berkaitan:

“Tapi kalau ada yang haram, itu kita tidak tahulah. Nama lagi haram, memang kita tidak tahu, kena siasat,” katanya.