Putus cinta punca lelaki nekad terjun dari tingkat 4 BSI

Anggota bomba membawa turun lelaki berkenaan menggunakan jentera ALP.
Anggota bomba membawa turun lelaki berkenaan menggunakan jentera ALP.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kecewa akibat putus cinta dan masalah kewangan dipercayai menjadi punca utama seorang lelaki mahu terjun dari tingkat empat Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 31 tahun itu berjaya dihentikan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuknya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 petang di tingkat empat Bangunan Sultan Iskandar berhampiran kawasan tempat keluar bas.

"Siasatan awal juga mendapati lelaki yang bekerja sebagai pemandu ‘kereta sapu’ itu turut menceroboh kawasan berkenaan sebelum mundar-mandir untuk terjun ke bawah.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu cuba terjun ke bawah akibat putus cinta dan masalah kewangan. Dia juga mengaku ada mengambil dadah jenis syabu ketika kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, perintah reman terhadap lelaki tersebut juga akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok untuk disiasat di bawah mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Sementara itu, Ketua Operasi dari BBP Johor Bahru, Pegawai Bomba Tinggi K Karupanan berkata, seramai 17 anggota terlibat dalam usaha menyelamatkan lelaki berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan.

“Lelaki itu yang cuba untuk terjun daripada tingkat empat bangunan berkenaan iaitu kira-kira 10 meter dari tanah. Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk lelaki tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dia dibawa turun dengan selamat menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 5.15 petang,” katanya.