Sultan Johor terima kunjungan pemimpin PH pagi Aidilfitri

Status bergambar terbaharu di Facebook rasmi Sultan Johor.
Status bergambar terbaharu di Facebook rasmi Sultan Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan kepimpinan PH Johor pada pagi Aidilfitri, Rabu lalu.

Memetik status bergambar dalam Facebook rasminya, kepimpinan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor antara yang pertama mengunjungi Istana Bukit Serene di sini pada 1 Syawal lalu.

“Ketibaan mereka disambut mesra Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bersama DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah serta Keluarga Diraja Johor.

“Tetamu-tetamu kehormat itu turut diraikan dalam satu majlis santapan pagi bersama Baginda Tuanku Sultan serta Keluarga Diraja Johor,” menurut status itu di sini hari ini.

Status tersebut turut memaklumkan Sultan Johor kemudian berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Johor di Saujana di sini dan baginda Tuanku turut beramah mesra dengan pengunjung serta penyokong PH dengan mengenepikan segala protokol.

Selain itu, baginda Tuanku juga menyambut kehadiran rombongan kepimpinan PH Johor pada Majlis Rumah Terbuka Istana Johor Khamis lalu yang berlangsung di Istana Pasir Pelangi di sini.

“Baginda Tuanku Sultan meluangkan masa serta beramah-mesra bersama kepimpinan Kerajaan Johor di Khemah Diraja pada majlis berkenaan.

“DYMM Sultan Johor sentiasa mengalukan-alukan kehadiran pelbagai pihak dalam mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama umat Islam,” menurut status tersebut.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Malaysiakini menyiarkan laporan bertajuk Undangan Khas Aidilfitri Sultan Ibrahim Hanya Buat UMNO Johor selepas baginda Tuanku menerima perkenan mengadap UMNO Johor sempena Aidilfitri.

Dengan memetik sumber, laporan itu menyatakan kunjungan itu sebagai kali pertama Sultan Ibrahim mengundang jemputan hari raya hanya kepada rombongan Umno sahaja.

Malah laporan tersebut juga memetik sumber PH yang memberitahu tiada undangan ke majlis rumah terbuka Aidilfitri sedemikian kepada pihak mereka daripada istana buat masa ini.