Lelaki dipercayai pengedar dadah ditembak mati di Songkhla

A
A

SONGKHLA - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah maut ditembak semasa cuba mengelak sekatan jalan pihak keselamatan Thailand di Saba Yoi, Songkhla, semalam.

Jurucakap Tentera Bahagian Ke-4, Kol Pramote Prom-in berkata kejadian berlaku ketika satu pasukan tentera sedang membuat sekatan jalan raya di Kg Kola Muda, Jalan Yala-Saba Yoi, di sini apabila suspek, Matyuna Mor-ah, 42, tiba di kawasan itu pada pukul 6.40 petang (waktu tempatan).

Beliau berkata suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda dikatakan cuba untuk mengelak pemeriksaan itu dan melepaskan satu das tembakan kearah pasukan yang mengendalikan sekatan jalan raya berkenaan.

“Anggota tentera yang bertugas mempertahankan diri dengan melepaskan satu das tembakan dan terkena bahagian belakang suspek. Suspek meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dan menambah pihak tentera turut menemui 292 butir pil kuda, sepucuk pistol dan wang tunai berjumlah 34,000 baht.

Berdasarkan rekod, Pramote berkata suspek pernah ditahan pihak polis kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan penyalahgunaan dadah tahun lepas.

Sementara itu, Timbalan Komander Tentera Bahagian Ke-4 Mejar Jeneral Sompol Pankul dan Pramote hari ini menziarahi keluarga suspek bagi mengucapkan takziah dan juga memberi penjelasan kejadian itu. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia