Kedai emas rugi RM462,000, 237 utas rantai disamun

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dipercayai bersenjatakan pistol melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM462,000 dalam satu kejadian samun di sebuah kedai emas di pusat membeli-belah di Taman Universiti, Skudai, semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, lelaki itu yang berjaket gelap dan putih serta memakai penutup mulut serta helmet bervisor gelap mendekati kedai itu pada jam 12.23 tengah hari.

Ketika kejadian terdapat lima pekerja termasuk pengawal dalam kedai berkenaan.

“Suspek mengugut supaya memberi kerjasama dan memaklumkan bahawa dirinya mempunyai pistol. Akibat ketakutan, mangsa (pekerja kedai) telah mengeluarkan barang kemas daripada empat bekas di dalam meja seperti yang diminta suspek.

“Suspek kemudian melarikan diri bersama 237 utas rantai emas pelbagai jenis dengan menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan kedai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ini adalah kali pertama kejadian samun berlaku di premis berkenaan dan berdasarkan semakan, nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek palsu.

“Pengawal keselamatan kedai emas berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Sesyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: