HG3M cadang kerajaan wujudkan Bank Awam

Mustaffa Kamil Ayub
Mustaffa Kamil Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) mencadangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya mewujudkan Bank Awam yang mengeluarkan wang kertas atau mata wang kripto dan komoditi yang berasaskan emas di negara ini.

Pengerusi Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M), Mustaffa Kamil Ayub berkata, kewujudan Bank Awam itu dapat memastikan inflasi dan bebas hutang dapat dihapuskan.

Jelas beliau, menerusi usaha tersebut, negara juga boleh menambahkan produktiviti dan membina jaringan perlindungan sosial yang lebih baik dan mampan.

"Dengan adanya Bank Awam ini, ia akan dapat memberi pinjaman yang lebih adil kepada semua lapisan masyarakat tanpa dibebankan dengan faedah tetapi lebih berbentuk pembiayaan yang berteraskan perkongsian keuntungan.

"Kerajaan PH boleh menggubal satu dasar dan meminda beberapa undang-undang seperti Akta Bank Pusat dan Akta Perkhidmatan Kewangan untuk maksud ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Perdana Menteri, Tun Mahathir dalam persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia di Tokyo baru-baru ini untuk mewujudkan satu mata wang khas berasaskan emas sebagai alat pertukaran bagi tujuan penyelesaian dagangan di negara-negara Asia Timur.

Mengulas lanjut tentang Bank Awam, Mustaffa Kamil berkata, bank-bank swasta tidak boleh lagi memberi pinjaman atau 'mencipta wang' melalui penciptaan kredit berganda dan pengenaan faedah.

Jelas beliau, status bank-bank swasta tersebut seharusnya diubah sebagai bank atau organisasi yang berbentuk pelaburan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan sistem monetari baharu ini, semua rakyat termasuk Bank Awam dan bank-bank pelaburan bekerjasama dalam membiayai pembangunan negara menerusi bina jalan raya, sekolah, perumahan dan hospital.

"Dengan konsep ini juga, mereka yang kaya seperti golongan pemodal, kapitalis dan bank-bank pelaburan dapat menikmati keuntungan bersama dengan rakyat dan kerajaan melalui Bank Awam hasil kerjasama dalam pembiayaan untuk pembangunan negara," ujar beliau.

Sehubungan itu, Mustaffa Kamil berkata, beliau percaya dan yakin dengan sistem monetari baharu itu akan melahirkan satu sistem ekonomi yang lebih adil, bersifat perkongsian dan kerjasama berbanding persaingan dan seterusnya melahirkan satu masyarakat yang lebih bersifat tolong-menolong.

"Ia juga akan dapat memastikan dasar fiskal atau pencukaian yang lebih efektif dan saksama di samping memastikan aliran wang yang lebih baik dan menambahkan produktiviti rakyat dan hasil pendapatan negara.

"Dengan sistem monetari baharu ini juga perlindungan jaringan sosial akan lebih mudah dilaksanakan dan inklusif untuk semua kaum dan lapisan rakyat di Malaysia.

"Pada masa yang sama kita juga dapat membendung amalan rasuah, ketirisan dan membasmi kemiskinan kerana tekanan inflasi, persaingan sengit dalam kitaran ekonomi dan sekali gus beban hutang dapat dihapuskan sama sekali," katanya.