Bukti kerajaan, PM 'cakap tak serupa bikin'

Mahadhir Sulaiman
Mahadhir Sulaiman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu disifatkan sebagai bukti kerajaan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap tidak serupa bikin.

Ketua Umno Bahagian Segambut, Mahadhir Sulaiman turut mempertikaikan integriti Latheefa, tambah lagi keputusan pelantikan itu juga dibuat oleh Dr Mahathir sendiri.

Beliau berkata, keputusan tersebut langsung tidak merujuk kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang kononnya menggambarkan akan wujud satu jawatankuasa khas Parlimen yang akan membincangkan pelantikan ketua-ketua agensi atau ketua badan.

Selain itu katanya, berdasarkan manifesto tersebut, sebarang pelantikan dikatakan akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada jemaah menteri sebelum membuat pelantikan sedia ada.

"Keputusan itu kini menjadi persoalan bukan sahaja kepada pemimpin-pemimpin politik kerajaan dan pembangkang, malah turut menjadi persoalan kepada rakyat kerana ia tidak seperti yang dijanjikan dalam manifesto pada PRU lalu.

"Apakah Latheefa ini berintegriti? Bagaimana beliau yang merupakan seorang ahli PKR dan digambarkan Dr Mahathir sebagai seorang yang tegas tapi dilantik untuk ketuai badan yang penuh dengan sifat integriti?" katanya dalam satu kenyataan menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApp hari ini.

Malah katanya, selepas dimaklumkan akan dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa dikatakan terus meletak jawatan sebagai ahli PKR dan menerima jawatan baharu itu.

"Ini perlu difikirkan...bagaimana kerajaan nak hadiahkan kepada rakyat satu integriti sedangkan pelaksanaan pelantikan tersebut dilihat tiada ciri tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan PH dan Dr Mahathir hanya cakap tak serupa bikin....sebelum ini janji nak turunkan harga minyak tapi tak turun-turun, janji nak hapus tol tapi tak hapus, perkara sama diulang-ulang dan akhirnya apa yang rakyat dapat daripada kerajaan yang dilihat tiada model sendiri itu," katanya.

Beliau berkata, model kerajaan PH hanya mengkhianati manifesto yang mereka sendiri lakukan.

Katanya, kerajaan sepatutnya lebih memikirkan tentang bagaimana untuk 'reform' pentadbiran yang kononnya dulu dikhabarkan buruk termasuk bebanan dan kesusahan dihadapi rakyat terutamanya berkaitan kos sara hidup serta bantuan-bantuan sebelum ini yang sudah tiada.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media memberitahu, Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu dan pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009.

Pelantikan Latheefa menimbulkan pelbagai reaksi negatif memandangkan beliau merupakan ahli PKR yang aktif dan sering menjadi peguam bagi pemimpin parti itu.