Sedekad sambut Aidilfitri tanpa makna

Farid (tengah) ketika ditemui media diiringi ketua petugas pusat pemulihan, Mohd Afzan (kanan).
Farid (tengah) ketika ditemui media diiringi ketua petugas pusat pemulihan, Mohd Afzan (kanan).
A
A
A

KUALA NERUS - Sambutan Aidilfitri pastinya dinanti-nantikan oleh semua umat Islam kerana ia adalah masa terbaik untuk berkumpul bersama keluarga yang tercinta.

Namun, ia berbeza dengan Farid, 26, (bukan nama sebenar) yang menyambut 1 Syawal sejak 10 tahun lepas dengan cara tersendiri kerana masalah ketagihan dadah.

“Sambutan Aidilfitri tidak memberi apa apa makna kepada saya sepanjang waktu itu dan saya ibarat hidup dalam dunia sendiri. Malah pernah menyambut raya dalam port.

"Saya lebih memikirkan cara untuk mendapatkan dadah berbanding menyambut hari raya yang akhirnya menyebabkan saya masuk penjara sebanyak dua kali," katanya hari ini.

Farid dari Pahang itu salah seorang daripada lebih 50 penghuni Pondok Remaja Inabah ll di Sungai Ikan di sini yang menyimpan 1001 kisah duka.

“Sekarang saya insaf dan bertekad tak mahu lagi mengulangi kesilapan selain cuba mencari kehidupan seperti orang biasa. Saya rindukan suasana beraya yang sebenar," katanya.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, dia pernah menyimpan hasrat berhenti menagih dadah, namun ia bukan sesuatu yang mudah dan penuh dengan dugaan.

"Saya dipenjarakan dua kali iaitu pada 2016 dan 2018 serta baru dibebaskan tapi kemudiannya saya secara rela hati jalani pemulihan di Pondok Remaja Inabah ll.

Artikel Berkaitan:

“Tahun ini saya tidak pulang ke kampung kerana dalam program pemulihan dan ahli keluarga datang melawat untuk menyokong sambil menyambut Aidilfitri bersama saya,” katanya.

Melalui aktiviti dan motivasi dalam program di pusat pemulihan yang mendapat kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu berjaya memberi kekuatan kepadanya.

Malah anak muda itu tekad kembali ke pangkal jalan kerana mendapat sokongan keluarga terutama daripada kedua ibu bapanya yang tidak pernah putus asa mahu dia berubah.

Sementara itu, Ketua Anak Bina Pondok Inabah II, Mohd Afzan Harun berkata, faktor persekitaran antara penyebab ada bekas penagih dadah kembali menagih selepas proses pemulihan.

"Kami dengan kerjasama AADK menyediakan program pemulihan bagi membimbing dan memantau bekas penagih supaya tidak kembali menagih dadah.

"Sejak enam tahun lalu kalau 10 keluar dari sini lima berjaya bebas dari dadah. Kajian AADK pula mendapati 65 peratus peserta yang keluar berjaya kembali ke pangkal jalan," katanya.