Lantik Latheefa, bukti kerajaan terus gadai janji PRU14

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilihat sebagai meneruskan agenda kerajaan yang terus-menerus menggadai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU14.

Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, adalah jelas bahawa individu yang dilihat tegar menyokong, menganggotai dan membawa agenda parti politik seharusnya dielakkan daripada dilantik memegang jawatan tersebut.

"Jika tiada dalam manifesto sekali pun, ia adalah amalan standard pentadbiran yang mementingkan ketelusan dalam jabatan kerajaan terutamanya melibatkan bidang penguatkuasaan undang-undang.

"Peletakan jawatan Latheefa semalam daripada PKR tidak boleh mengaburi rakyat bahawa beliau bukanlah orang PKR. Tak perlulah berdrama sebegini, rakyat sudah tahu menilai," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO, tindakan melantik Latheefa tanpa melalui jawatankuasa kabinet juga adalah sesuatu yang janggal dan menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.

"Kenapa perkara ini perlu disembunyikan sedangkan ia sesuatu yang amat penting untuk pengetahuan dan perbincangan kabinet, melainkan ada agenda yang di sebalik pelantikan ini.

"Jika sebelum ini jawatan seperti ini diisi oleh individu berpengalaman dari dalam agensi sendiri, kali ini SPRM cukup terhina seolah-olah ketandusan individu berkelayakan dari dalam SPRM sendiri.

"Tak cukup layakkan Pengarah-pengarah bahagian dalam SPRM sendiri untuk gantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull?," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Saiful Adli berkata, tidak dinafikan tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM memerlukan individu berpengetahuan luas dalam bidang undang-undang namun kedudukan SPRM sebagai badan penguat kuasa yang bebas tanpa pengaruh politik seharusnya menjadi keutamaan.

"Prinsip keadilan dan kebebasan itu hanya akan sempurna jika dilihat adil dan benar-benar bebas oleh rakyat.

"Satu soalan saya kepada Latheefa, mampukah anda siasat dan dakwa rakan dari PH terutamanya dari PKR jika ada kes melibatkan 'bekas' parti anda? Itu yang seharusnya dibuktikan," katanya.