Sayu dengar takbir raya

Mohd Arshad (tengah) ketika bertugas sebagai penyelaras di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh sempena Op Selamat ke-15.
Mohd Arshad (tengah) ketika bertugas sebagai penyelaras di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh sempena Op Selamat ke-15.
A
A
A

TEMERLOH - Di saat umat Islam lain berpakaian sedondon dengan pelbagai fesyen dan warna pilihan untuk menyambut lebaran, uniform menjadi pakaian Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Arshad Abdullah di pagi 1 Syawal.

Walaupun tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang, perasaan hiba dan pilu diketepikan demi tugas yang digalas pegawai bomba berusia 39 tahun itu.

Mohd Arshad yang bertugas di Cawangan Penyiasatan Kebakaran Zon Dua di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin Temerloh berkata, tahun ini beliau perlu bertugas dari 1 Syawal hingga tamat cuti persekolahan minggu depan.

Anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu berkata, tahun lalu dia sudah mendapat pelepasan untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Menurutnya, isterinya, Hamidah Mahamud, 39 dan lima cahaya mata memahami situasinya yang sudah sembilan tahun berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Saya bertuah kerana isteri dan anak-anak memahami dengan situasi sebegini setiap kali hari raya.

“Cuma masa kali pertama tak dapat beraya bersama memang sedih juga kami sekeluarga,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Aidilfitri tetap meriah

Mohd Arshad berkata, bersalaman dan bermaafan di pagi raya bersama keluarga adalah momen yang menyentuh hatinya sebelum memulakan tugas di pagi Syawal.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu bila dengar takbir raya memang sayu dan syahdu dibuatnya tapi bila dah bersama rakan setugas di balai dan bertakbir bersama, itu juga antara momen yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Tapi nak buat macam mana tugas tetap perlu dilakukan demi negara dan rakyat. Jadi saya meletakkan fokus sepenuhnya ketika bertugas,” kata pemegang Diploma Kejuruteraan Awam itu.

Bagaimanapun menurutnya, lebaran tetap meriah apabila pelbagai juadah dihantar ke balai untuk dinikmatinya bersama rakan-rakan setugas.

“Ada yang hantar lemang, biskut dan macam-macam juadah. Jadi tidak raya sunyi dan tersisih. Kadang-kadang ahli keluarga datang ke balai beraya bersama,” katanya.

Mohd Arshad yang menggemari pulut bungkus dicicah bersama rendang itu sudah bertugas di zon tersebut sejak 2013.

“Banyak kenangan dan peristiwa yang berlaku ketika Syawal. Memang ada saja insiden tak diingini berlaku seperti kebakaran, kemalangan dan ia menjadi pengajaran kepada saya supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas.

"Skop tugas saya adalah mencari sumber penyalaan dan punca kebakaran bagi kes melibatkan kebakaran termasuk kenderaan dan struktur, bangunan, kilang dan rumah,” katanya.

Mohd Arshad bersama isteri dan lima anak mereka.
Mohd Arshad bersama isteri dan lima anak mereka.

Isteri, anak faham tugas

Sementara itu Hamidah yang juga suri rumah berkata, dia amat memahami tugas dan tanggungjawab dipikul suaminya.

“Ketika kali pertama tidak dapat beraya bersama suami memang menangis juga dibuatnya tapi lama-kelamaan saya reda dan faham tuntutan tugas suami.

“Anak-anak pun dah faham cuma anak anak ketiga selalu tanya kenapa tidak dapat beraya bersama ayahnya,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Mohd Arshad pada 2003.

Menurutnya, apa yang penting suaminya dapat fokus ketika bertugas dan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Auni Wirdani, 15, Adni Ateequllah, 11, Amrina Roshada, 9 dan dua anak lelaki, Amru Al-Haz, 2, dan Auz Mikhael yang baru berusia setahun.