Impian saya cuma nak jumpa mak, ayah, adik-beradik

Team Keris Berhad bersama penghuni asrama berkenaan.
Team Keris Berhad bersama penghuni asrama berkenaan.
A
A
A

IPOH - Tiada siapa yang mengerti bagaimana perasaan penghuni Asrama Anak Yatim Darussalam.

Hanya mereka yang tahu, rasa kasih, rindu yang amat mendalam terhadap keluarga tercinta, apatah lagi setiap kali menjelang Aidilfitri.

Melihat kebahagiaan orang lain, sedikit sebanyak terpalit rasa sedih dan kecewa mereka tidak dikurniakan keluarga seperti itu.

Namun, ujian itulah sebenarnya mematangkan penghuni-penghuni di sini.

Bagi Izzanty Motar, 20, salah seorang penghuni Asrama Anak Yatim Darussalam, impian Aidilfitrinya tahun ini hanya satu, dapat bertemu semula dengan keluarganya yang terpisah hampir sembilan tahun.

"Saya teringin jumpa mak, ayah dan adik beradik," katanya.

Izzanty yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan mengakui sudah hampir sembilan tahun menetap di asrama berkenaan sejak ibu bapanya bercerai.

Menurut anak kedua daripada tujuh beradik itu, sejak perceraian ibu dan ayahnya, dia tidak lagi mengetahui di manakah mereka berada termasuk kesemua adik beradiknya.

Artikel Berkaitan:

"Lepas mak dan ayah bercerai, saya tinggal dengan mak angkat. Saya juga pernah dihantar ke pusat tahfiz.

"Tapi masa umur saya 12 tahun, mak angkat hantar saya ke sini dan tak lagi jumpa dia lepas tu, adik beradik pun tak tahu ada di mana," ujarnya.

Tidak pernah sekalipun melupakan, malah doanya setiap masa adalah dipertemukan dengan keluarga kandungnya semula.

"Saya berdoa, raya kali ni dapatlah jumpa mereka semula kali ini... rindunya saya pada mak, ayah dan adik beradik," katanya yang memasang cita-cita menjadi seorang ustazah.

Izzanty berkata demikian sempena projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Team Keris Berhad di Maahad Darussalam dan Asrama Anak Yatim Darussalam, Tambun, hari ini.

Seramai 27 anak yatim di asrama berkenaan menerima sumbangan makanan, barang keperluan harian serta duit raya sempena projek berkenaan.

Bagi Zaiton Bi Basiah Hayati Kasim, 13, sejak kematian ayahnya dua tahun lalu, kehidupannya sekeluarga begitu sukar.

"Kami tak ada tempat tinggal yang tetap, kejap pindah sana, pindah sini.

"Nasib kami baik apabila bertemu seorang imam sebuah surau di Tambun yang mencadangkan kami menetap sementara di asrama ini," katanya.

Seakan-akan memahami derita ibunya, Zaiton tidak pernah mengeluh malah bersyukur dengan setiap ujian yang diberikan kepadanya.

"Saya bersyukur dapat jumpa dengan pakcik itu. Alhamdulillah, ibu dapat kerja dan dia menyewa bilik di belakang asrama ini dan saya pula dapat peluang untuk terus menetap dan belajar ilmu agama di sini.

“Inilah kali pertama saya akan berhari raya di sini. Lagi seronok apabila dapat beraya dengan semua orang yang saya sayang ibu, rakan dan guru-guru di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Team Keris Berhad, Annuar Abu Hassan berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada CSR syarikat berkenaan dalam berkongsi kemeriahan Aidilfitri kali ini.

Katanya, prestasi syarikat yang agak baik pada ketika ini juga mendorong kepada penganjuran CSR berkenaan.

"Kita menyumbang barang keperluan serta memberikan anak-anak kurang berkemampuan ini duit raya bagi menunjukkan keprihatinan kami untuk berbakti kepada masyarakat.

“Inilah peluang kami untuk memberi pulangan kepada masyarakat sekaligus menjadi syarikat pelopor kepada syarikat hartanah lain untuk terus memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.