Hala tuju kereta nasional ketiga

No Image Caption
A
A
A

TERDAPAT 4,500 bahagian terlibat dalam pembinaan sesebuah kenderaan biasa. Sama ada bahagian itu penting atau tidak terdapat penanda aras bagaimana kereta itu direka. Di sinilah, ketepatan dan ketelusan dalam membincangkan mengenai industri kereta nasional ketiga ini.

Pertama, apabila yang ketiga diwujudkan, ini bermaksud yang dua sebelumnya mencapai matlamatnya atau melebihi jangkaan - maka yang ketiga diperlukan. Atau secara alternatifnya, kereta nasional pertama dan kedua mempunyai pelbagai ragam lantas mendesak keperluan untuk mempunyai yang ketiga.

Bagi Proton mahupun Perodua, kejayaan kenderaan nasional diukur daripada bagaimana kenderaan tersebut boleh dijual di pasaran antarabangsa.

Tiada pembuat kenderaan yang boleh berjaya hanya bergantung kepada pasaran domestik sahaja. Indonesia pernah bekerjasama dengan Kia dari Korea Selatan untuk membina kereta mereka sendiri. Projek ini, dimulakan oleh Tommy Suharto tidak berjaya sama sekali, walaupun terdapat 269 juta rakyat sebagai pembeli.

Malaysia hanya ada lebih kurang 11.8 peratus sahaja daripada populasi Indonesia. Kekuatan sesebuah kereta nasional bergantung kepada eksport ke luar negara.

Sekarang, Geely bekerjasama dengan Proton di Malaysia. Geely adalah pembekal terbesar kenderaan persendirian di China.

Walaupun prestasi Geely adalah baik dengan membeli Volvo dan saham dalam Daimler Benz, ia masih di kedudukan keenam berbanding dengan semua pembuat kereta di China.

Lima yang pertama semuanya disokong kerajaan atau syarikat milik kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Malaysia dengan kereta nasional ketiga atau keempat akan masuki pasaran kompleks seperti itu. Pertama, Malaysia perlu tahu kepada siapa dan di mana kereta boleh dijual.

Penyelidikan dan pemasaran berterusan menambahkan kos pengeluaran kereta.

Ia akan memaksa kerajaan Malaysia untuk campur tangan sekiranya projek ini semakin gagal. Sebelum apa-apa keuntungan diperoleh daripada kereta nasional ketiga, wang yang banyak perlu dilaburkan secara berterusan.

Sudah tentu kemahiran yang akan diperoleh daripada rantaian ini cukup penting. Tetapi, kemahiran ini juga boleh diperoleh dengan menghantar 50,000 atau 100,000 jurutera ke Jepun sekarang memandangkan industri pembuatan dan kereta di Jepun menghadapi kekurangan pekerja. Korea Selatan dan China juga mengalami fenomena yang sama.

Kekuatan Pakatan Harapan adalah dalam menghapuskan lebihan kerajaan sebelum ini. Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, contohnya membelanjakan jutaan ringgit dalam perang media sosial walaupun ini kebanyakannya boleh didapati secara percuma.

Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad perlu tahu tiada manfaat dalam membuat perkara yang sama. Mencuba berulang kali tidak semestinya menzahirkan kejayaan.

Tidak boleh dinafikan industri automasi bagus untuk peluang pekerjaan dan rantaian ini mewujudkan manfaat ekonomi. Namun, keperluan industri automasi ini bakal berkurang dengan kemunculan kenderaan elektrik (EV).

Lebih 400 syarikat China terlibat dalam usaha membina EV. Kalau kita melihat industri solar sebagai panduan ini akan menyebabkan kerugian kewangan besar dan peluang Malaysia bertahan sangat nipis dalam peperangan teknologi antara China, Jerman, Jepun dan Amerika Syarikat.

Sebaliknya, Malaysia menjadi lebih baik jika meletakkan kedudukannya sebagai destinasi untuk gergasi global EV yang ingin penuhi permintaan pasaran Asean.

Di mana kita akan menghadapi persaingan dari Vietnam dan Thailand? Masing-masing mempunyai buruh yang ramai dengan kos rendah dan juga pengalaman yang berdekad lamanya dalam industri pemasangan CKD (Completely Knocked Down).

Dalam masa lima bulan mendatang, China akan menukar kawasan padang berlumut kepada Tesla Gigafactory di Shanghai. Ribuan pakar dari China memohon untuk bekerja di situ dan dijangka mengeluarkan kereta dalam masa beberapa bulan lagi.

Malaysia pula kekurangan tenaga kerja kilang yang menjadi penghalang pembuatan skala besar dalam industri automasi.

Jadi apakah ertinya untuk Malaysia? Patutkah kita berundur? Pastinya tidak. Kita mesti merangka pelan induk EV dan mengenal pasti peluang bersaing.

Kita boleh mencari peluang dalam bidan yang boleh tumbuh dengan pesat seperti pemasangan modul bateri. Inovasi teknologi simpanan (storage tech) memastikan inisiatif intensif harta intelek (IP) dari Silicon Valley dan Jerman akan memilih Malaysia dengan kemahiran bahasa Inggeris dan sistem Common Law bukannya China, Thailand atau Vietnam.

* Dr Rais Hussin Ariff ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar parti