Tangisan bayi selamatkan keluarga dari hangus

Keluarga mangsa berdepan dugaan menjelang beberapa hari lagi Aidilftri setelah rumah hangus dalam kejadian semalam.
Keluarga mangsa berdepan dugaan menjelang beberapa hari lagi Aidilftri setelah rumah hangus dalam kejadian semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Tangisan bayi berusia 33 hari menyelamatkan nyawa sembilan sekeluarga daripada hangus dalam kebakaran rumah sewa mereka di Kampung Pengkalan Nangka di sini semalam.

Kejadian berlaku pada jam 7.20 malam, ketika keluarga Noor Afiza Yusof iaitu suaminya, Che Abdullah Che Su, 54, dan enam lagi anak mereka sedang menunggu waktu berbuka di dapur rumah manakala dia yang masih berpantang juga berada di dapur itu.

Bayinya pula berada bersendirian di ruang tamu rumah.

Noor Afiza, 40, berkata, ketika sedang menunggu beberapa minit lagi waktu berbuka, dia mendengar tangisan bayinya, Nor Aira Qairina.

“Saya pergi untuk mengambilnya dan semasa hendak membawanya ke dapur itulah saya terlihat kepulan asap dalam rumah.

“Saya bergegas memberitahu suami dan kami membawa semua anak keluar menyelamatkan diri melalui pintu dapur. Suami sempat melihat api marak dari bilik tidur salah seorang anak kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, selain rumah yang hangus, kebakaran turut membabitkan sebuah Proton Waja, Nissan Sentra dan motosikal Yamaha Lagenda turut musnah dijilat api.

“Menjelang hari raya yang tinggal tiga hari lagi kami sekeluarga diduga sebegini.

Artikel Berkaitan:

“Barang kemas serta wang tunai RM4,000 untuk perbelanjaan membeli persiapan hari raya juga turut tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Mereka sekeluarga kini menumpang di rumah kakak beliau di Pantai Cahaya Bulan di sini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II Samsuddin Mat berkata, pihaknya menerima makluman pada jam 7.26 malam.

“Seramai 17 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan apabila tiba kami mendapati sebuah rumah separuh kekal sudah 90 peratus hangus terbakar.

“Dua buah kereta serta sebuah motosikal turut musnah dan api berjaya dikawal pada pukul 7.35 malam dan kerja pemadaman selesai pada jam 8.10 malam,” katanya.