Menyamar sebagai polis, seorang lelaki ditahan

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Seorang anggota polis sukarelawan ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis tetap yang kononnya boleh melakukan urusan pembebasan tahanan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata suspek berumur 23 tahun itu berjaya ditahan sepasukan anggota polis petang semalam sekitar pukul 1.45 petang di luar sebuah kedai runcit di Dumpas di sini.

"Pada 16 Mac lepas sekitar pukul 7 malam, pengadu didatangi seorang lelaki dikenali sebagai Aiman memaklumkan telah diarah oleh seorang anggota polis bahagian jenayah dikenali sebagai "Polis Boy' atau Encik Arman (suspek).

"Aiman diarah mengambil duit RM2,000 daripada pengadu untuk diserahkan kepada suspek bagi urusan pembebasan jiran pengadu yang telah ditangkap atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nor Azizulkifli berkata pengadu kemudiannya telah menyerahkan wang tunai itu kepada Aiman untuk diberikan kepada suspek dan selepas seminggu, pengadu telah menghubungi suspek untuk bertanyakan berkenaan kes tersebut. Bagaimanapun, beliau berkata suspek memberitahu jiran kepada pengadu itu belum boleh dibebaskan kerana masih dalam tahanan dan masih memerlukan wang sebanyak RM500 untuk urusan pembebasan tersebut.

Nor Azizulkifli berkata kira-kira 3 petang pada 31 Mei lepas, pengadu dihubungi oleh suspek agar menyediakan wang tunai RM500 untuk tujuan pembebasan jiran pengadu itu.

"Pengadu yang berasa tertipu dan bimbang percaya suspek telah menyamar sebagai seorang anggota polis dan mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.

Nor Azizulkifli berkata suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: