Selangor peruntuk RM4.171j untuk petugas masjid, surau

Amirudin (kiri) menyerahkan bantuan insentif berkenaan melalui Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dalam majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto Facebook Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM4.171 juta buat petugas masjid dan surau di seluruh negeri ini melalui penyerahan Insentif Mahabbah Ramadan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, seramai 13,000 penerima insentif berkenaan di seluruh negeri ini bakal menerima manfaat sebagai tanda penghargaan atas sumbangan pihak berkenaan.

Beliau berkata, setiap petugas masjid akan menerima RM400 manakala petugas surau pula mendapat RM300 seorang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitiri tidak lama lagi.

"Saya menyampaikan Insentif Mahabbah Ramadan kepada seluruh petugas masjid dan surau di Selangor dalam Program Qiyamulail Perdana ini.

"Semoga segala amal ibadat kita diterima ALLAH SWT dalam mengejar keberkatan malam Al Qadr. Insya-ALLAH," katanya menerusi kemaskini di laman Facebook hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan seramai 19,244 penjawat awam di negeri ini bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak tiga bulan gaji bagi tahun ini yang akan dibayar secara berperingkat.

Pembayaran bantuan khas kewangan bagi satu bulan gaji yang juga dipanggil Insentif Mahabbah Selangor itu dikatakan akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri pada 7 Jun ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM33.84 juta.

Manakala, bantuan khas kewangan dua bulan gaji lagi akan dibayar pada akhir tahun berasaskan mata pencapaian prestasi yang diperolehi oleh ketua-ketua jabatan.