Dua Datuk didakwa palsu dokumen

Bang Heng ketika keluar dari Mahkamah Majistret.
Bang Heng ketika keluar dari Mahkamah Majistret.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 27 pertuduhan memalsukan 27 borang tarik balik kaveat persendirian bagi 27 lot hartanah, empat tahun lalu.

Kedua-duanya yang bergelar datuk itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rasidah Baharom.

Datuk Lee Ban Heng, 51, yang juga Komandan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) negeri ini dan Datuk Chong Chee Heng, 43, didakwa bersama-sama memalsukan dokumen berkenaan bagi 27 lot hartanah di Mukim Plentong melalui penama, Danny Loo Kheng Soon.

Ia digunakan sebagai tulen kepada Pembantu Tadbir di Kaunter Tingkat 1, Pejabat Pendaftaran Hakmilik, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor, Bangunan Dato' Mohamad Salleh Perang, Kota Iskandar, Iskandar Puteri di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 September 2015 dan mereka mengetahui dokumen berkenaan adalah palsu, namun menggunakannya bagi tujuan supaya sekatan kepentingan ke atas tanah-tanah terbabit dilepaskan.

Untuk kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Kheng Soon, 36, yang juga seorang peguam, mengaku tidak bersalah bagi 27 pertuduhan bersubahat dengan Ban Heng dan Chee Heng bagi melakukan perbuatan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Chee Heng ketika keluar dari Mahkamah Majistret.
Chee Heng ketika keluar dari Mahkamah Majistret.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tempat serta masa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, Pengerusi Komuniti Hak Asasi Manusia negeri ini berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh, bagaimanapun mencadangkan jumlah RM80,000 bagi setiap satu pertuduhan untuk seorang tertuduh, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin.

Pendakwaan turut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan, manakala, ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Omar Kutty Abdul Aziz.

Rasidah kemudiannya menetapkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM38,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah dan mereka hendaklah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah juga turut menetapkan sebutan semula kes pada 17 Jun depan untuk serahan dokumen.