42 pesakit Hospital Parit Buntar terima sumbangan Aidilfitri

Md Nayan (tiga, kanan) bersama Dr Che Sharifah(lima, kiri) dan sebahagian Ahli Lembaga Pengarah serta kakitangan Hospital Parit Buntar.
Md Nayan (tiga, kanan) bersama Dr Che Sharifah(lima, kiri) dan sebahagian Ahli Lembaga Pengarah serta kakitangan Hospital Parit Buntar.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Tidak sekadar bertindak sebagai jambatan menyelesaikan masalah pesakit dan kakitangan hospital, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Parit Buntar turut memainkan peranan menganjurkan program kemasyarakatan termasuk sambutan perayaan.

Terbaharu, seramai 42 pesakit wad kanak-kanak, dewasa, ibu bersalin dan unit kecemasan Hospital Parit Buntar dilawati Ahli Lembaga Pelawat hospital itu dengan masing-masing diberikan sumbangan duit raya sempena perayaan Aidilfitri.

Pengerusinya, Md Nayan Salleh berkata, menerusi pendekatan itu pihaknya berharap dapat mengeratkan hubungan pesakit, keluarga, kakitangan hospital dan Ahli Lembaga Pelawat.

"Sebagai orang tengah antara pesakit dan pengurusan Hospital Parit Buntar, kami bersedia berkhidmat kepada masyarakat bagi meringankan masalah dialami mereka.

"Diharapkan sumbangan diberikan membolehkan kesemua pesakit dapat merasai nikmat merayakan Hari Raya Aidilfitri bersama umat Islam lain dan melupakan seketika masalah kesihatan dihadapi mereka,” katanya kepada media pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pesakit Hospital Parit Buntar anjuran Ahli Lembaga Pelawat hospital itu di sini hari ini.

Md Nayan (kanan) menyantuni seorang pesakit di wad lelaki Hospital Parit Buntar sewaktu majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pesakit hospital itu, hari ini.
Md Nayan (kanan) menyantuni seorang pesakit di wad lelaki Hospital Parit Buntar sewaktu majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada pesakit hospital itu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Parit Buntar, Dr Che Sharifah Sulieman.

Dalam perkembangan lain, Md Nayan menegaskan pihaknya sedang merancang membina sebuah rumah rehat dan rawat untuk kegunaan kakitangan Hospital Parit Buntar berehat dan mengurangkan tekanan kerja masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, inisiatif penyediaan rumah rehat dianggarkan bernilai RM20,000 itu penting memandangkan profesion pekerjaan berkaitan hospital sememangnya berdepan risiko tekanan kerja tinggi dan waktu tugasan panjang.

"Inisiatif itu kini masih dalam peringkat perancangan dan ianya dijangka akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan diluluskan.

"Kita berharap penyediaan rumah rehat ini dapat memberikan keselesaan kepada kakitangan yang ingin berehat pada waktu rehat di samping mengurangkan masalah tekanan kerja dihadapi mereka," katanya.