Nelayan Vietnam didenda RM680,000

Tekong, Phan Hong Ngoc (kiri) bersama tujuh awak-awaknya dijatuhi hukuman denda selepas mengaku salah menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Tekong, Phan Hong Ngoc (kiri) bersama tujuh awak-awaknya dijatuhi hukuman denda selepas mengaku salah menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah menangkap ikan menggunakan peralatan tanpa kebenaran dan tanpa permit sah, lapan nelayan Vietnam termasuk seorang tekong didenda keseluruhan RM680,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tekong, Phan Hong Ngoc, 33, dijatuhi hukuman denda RM400,000 atau dua tahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda manakala tujuh lagi awak-awak masing-masing didenda RM40,000 atau setahun penjara sekiranya tidak membayar denda.

Keputusan dibuat selepas kesemua tertuduh berusia antara 19 hingga 50 tahun mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa cuba menangkap ikan dengan menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa permit sah dikeluarkan Pengarah Perikanan Malaysia di bawah Seksyen 19 Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di 101.9 batu nautika perairan Kuala Terengganu kira-kira jam 4.05 pagi, pada 17 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) dibaca bersama Seksyen 52(1)(a)(1) dan Seksyen 52(1)(a)(11) Akta Perikanan 1985(Akta 317).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan dihadapan Hakim Azman Mustapha manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah turut mengarahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi beserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan: