FAMA sasar nilai jualan RM1 bilion pasar tani tahun ini

Basri (kanan) melihat gimik pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani yang disempurnakan Abdul Yunus di Pasar Tani Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini.
Basri (kanan) melihat gimik pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani yang disempurnakan Abdul Yunus di Pasar Tani Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini.
A
A
A

TAPAH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 billion bagi pasar tani di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA, Basri Jasmo berkata, sehingga kini terdapat 757 pasar tani yang beroperasi di seluruh negara.

Katanya, tahun lalu sahaja, sejumlah RM850 juta nilai jualan berjaya dicapai menerusi pasar tani sedia ada.

"Kita sasarkan jualan pasar tani pada tahun ini sebanyak RM1 bilion. Jika dilihat pencapaian dalam tempoh empat bulan ini, kita nampak potensi itu.

"Kita juga akan menambah 25 pasar tani baharu di seluruh negara pada tahun ini. Setiap negeri sekurang-kurangnya akan mempunyai satu pasar tani tambahan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani di Pasar Tani Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis itu, Exco Kerajaan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Basri berkata, pertambahan pasar tani itu sebagai galakkan kepada usahawan muda khususnya lepasan universiti untuk menceburi bidang perniagaan.

Mengenai Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani, beliau menjelaskan sebanyak 398 pasar tani terlibat daripada 757 yang beroperasi di seluruh negara yang bermula 25 Mei hingga 3 Jun.

Artikel Berkaitan:

"Program ini merupakan usaha kerajaan membantu orang ramai mendapatkan bekalan dan keperluan hari raya pada harga berpatutan.

"Orang ramai boleh menikmati penjimatan lima hingga 20 peratus. Bagi peniaga pula dengan adanya aktiviti seperti ini kita merasakan mereka mendapat manfaat hasil kunjungan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Basri berkata, pihaknya juga turut menjalankan program My Best Buy sempena Aidilfitri di seluruh negara di 18 lokasi.

Katanya, program yang bermula 25 Mei lalu itu melibatkan penyertaan 720 peserta dengan anggaran pengunjung 70,000 orang.

"Program My Best Buy ini sudah dilaksanakan sejak tahun 2014 lagi. Berbeza sedikit dengan pasar tani, lokasi program ini tidak tetap dibuat pada minggu keempat setiap bulan dan kita akan bergerak di satu tempat ke tempat yang lain.

"Setakat ini kita telah adakan di 182 lokasi berbeza termasuk di universiti. Sasaran jualan kita bagi seluruh negara pada tahun ini bernilai RM6 juta.

"Program ini merupakan satu lagi cabang baharu kepada usahawan untuk memasarkan terus produk mereka di lokasi-lokasi tidak tetap," katanya.