Drawbridge dijangka dibuka secara rasmi Julai ini

Jambatan angkat Kuala Terengganu mula dibuka kepada orang awam bermula hari ini.
Jambatan angkat Kuala Terengganu mula dibuka kepada orang awam bermula hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menjadi kebanggaan Terengganu dijangka akan dibuka secara rasmi pada penghujung bulan ini atau Julai depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A Rahman Yahya berkata, buat masa ini, jambatan itu akan menjalani proses pengujian selama 16 hari bagi tujuan semakan kajian dan penambahbaikan.

“Sepanjang tempoh pengujian ini, kita akan lihat sama ada jambatan itu dapat menampung jumlah peningkatan kenderaan atau memerlukan penambahbaikan terhadap apa yang telah dibuat.

“Jambatan ini sudah siap sepenuhnya dan kerajaan negeri telah melantik operator bagi kerja-kerja pengoperasian iaitu TI Properties Sdn Bhd, anak syarikat Terengganu Inc,” katanya sewaktu membuat tinjauan sempena pembukaan jambatan angkat kepada orang ramai bermula hari ini.

A Rahman (tengah) semasa sidang media selepas membuat tinjauan di jambatan angkat
A Rahman (tengah) semasa sidang media selepas membuat tinjauan di jambatan angkat

Beliau yang berpuas hati dengan proses pembukaan drawbridge yang berjalan lancar berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai menggunakan laluan itu.

Namun, beliau mengingatkan agar orang ramai tidak berhenti di tepi jalan kerana dibimbangi akan mengganggu pergerakan aliran trafik.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter itu mempunyai ‘bascule’ terpanjang di dunia, iaitu 76 meter dan pembinaannya melibatkan kos RM248 juta yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Kanan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Terengganu, Razlee Hassan berkata, ribuan kenderaan dijangka akan melalui jambatan itu menjelang perayaan Aidilfitri ini.

RAZLEE HASSAN
RAZLEE HASSAN

Pihaknya juga menjangkakan aliran trafik di jambatan itu akan sesak pada hari raya pertama dan kedua.

Jelas beliau, ia disebabkan ramai perantau dan pelancong ke Terengganu dalam tempoh itu dan ramai antara mereka akan mengambil peluang ini untuk melihat dan melalui jambatan ikonik itu.

“Walaupun begitu, kita jangka situasinya terkawal dengan penempatan polis dan anggota Rela, selain pegawai dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Sepanjang tempoh pengujian prestasi jalan ini sehingga 17 Jun, kita akan pantau secara dekat. Buat masa ini, tiada sebarang masalah dan berdasarkan pelepasan kenderaan sejak jam 7 pagi tadi, semua berfungsi dengan baik termasuk lampu isyarat,” katanya.

Razlee menambah, sebagai tarikan kepada pengunjung, pihaknya akan membuka lampu festival di jambatan itu pada 4 hingga 7 Jun ini bagi menambahkan keceriaan suasana hari raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Seawal jam 6 pagi terpacak di ‘drawbridge’

Jambatan angkat ubah trend pelancongan di Terengganu