Dadah dalam bungkusan pos laju

Mohd Khalil (dua dari kanan) menunjukkan pil erimin 5 yang dirampas dalam empat serbuan, kelmarin.
Mohd Khalil (dua dari kanan) menunjukkan pil erimin 5 yang dirampas dalam empat serbuan, kelmarin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dadah pelbagai jenis termasuk yang dibungkus menggunakan bungkusan pos laju bernilai RM3.2 juta dirampas polis dalam empat serbuan berasingan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan ini menggunakan perkhidmatan pos laju untuk transaksi.

"Kita belum dapat kesan lagi dadah ini dihantar melalui pos laju tapi saya tidak menolak kemungkinan itu. Dadah ini dipercayai dari kawasan utara.

"Kumpulan ini dikesan sejak lima bulan lepas dan serbuan dibuat ke atas rumah di Taman Desa Tebrau, gudang logam di Taman Mount Austin dan dalam kereta di Plaza Tol Kulai.

"Hasil rampasan pil erimin 5 (119,400 biji), pil ecstacy (17,450 biji), serbuk ecstacy (8,414 biji), ketamin (220 gram) dan cecair syabu (415 gram) yang dianggarkan bernilai RM3,233,370," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor di sini hari ini.

Selain itu, polis turut menyita harta bernilai RM178,800 iaitu sebuah Mercedes Benz, sebuah Toyota Vios, dua utas rantai, tiga bentuk cincin, dua utas jam tangan juga wang tunai RM2,350.

Menurutnya, tiga lelaki ditahan dalam serbuan itu dan didapati memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.

"Kita percaya pasaran dadah ini untuk tempatan dan antarabangsa. Dua suspek yang ditahan ini positif dadah. Pasti ada ahli kumpulan yang lain dan kita sedang siasat.

Artikel Berkaitan:

"Kesemuanya direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati," katanya.

Katanya lagi, sindiket dadah cuba menjadikan Malaysia sebagai negara transit namun tahun ini sahaja, polis telah berjaya mematahkan enam transaksi.