Khatam Quran: Damian sampaikan sumbangan, bukan rasmi majlis

Gambar yang dimuat naik individu tertentu ketika ADUN Duyong, Damian Yeo menyampaikan sumbangan kepada kesemua pegawai syarak di Masjid Pengkalan Rama pada 30 Mei lalu. Gambar kecil, Muhamad Danish Zainudin.
Gambar yang dimuat naik individu tertentu ketika ADUN Duyong, Damian Yeo menyampaikan sumbangan kepada kesemua pegawai syarak di Masjid Pengkalan Rama pada 30 Mei lalu. Gambar kecil, Muhamad Danish Zainudin.
A
A
A

MELAKA - Majlis Khatam Quran di Masjid Pengkalan Rama 30 Mei lalu, sebenarnya disempurnakan oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad dan bukannya ADUN Duyong, Damian Yeo sebagaimana yang dilaporkan individu tertentu di Facebook baru-baru ini.

Setiausaha politik kepada ADUN berkenaan, Muhamad Danish Zainudin menjelaskan, kehadiran Damian adalah bertujuan untuk menyampaikan sumbangan kepada kesemua pegawai syarak masjid bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Justeru beliau menggesa pihak yang sengaja memperbesarkan isu tersebut supaya segera menghentikan perkara berkenaan.

"Budaya hasutan dan kebencian yang mempergunakan agama bagi menonjolkan bahawa merekalah pejuang agama dan bangsa yang sebenar harus dihentikan segera.

"Islam adalah agama kasih sayang dan Yang Berhormat Damian Yeo menunjukkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan pegawai-pegawai syarak masjid di sekitar DUN Duyong sebagai wakil rakyat yang sah dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas," katanya.

Tegas Muhamad Danish lagi, memfitnah dan menyebarkan kebencian serta memanipulasi kepelbagaian masyarakat di negeri ini boleh mencemarkan kesucian bulan yang mulia ini.

"Kepelbagaian kaum yang wujud pada hari ini bukanlah untuk kita saling berkelahi dan menunjukkan siapa jagoan sebenar sebaliknya adalah bertujuan bagi mengenal antara satu sama lain.

"Adalah lebih baik kita bersama meningkatkan amal ibadat bagi hari-hari terakhir bulan Ramadan yang bakal berlalu ini. Semoga kita semua dirahmati oleh ALLAH SWT," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Damian di akaun Facebooknya turut memuat naik status nafi merasmikan majlis berkenaan.

"Saya tidak merasmikan apa-apa majlis atau memberi apa-apa ucapan. Saya hanya memberi sumbangan raya dan kain pelekat kepada pegawai syarak termasuk penggali kubur, kerana merekalah yang terawal dan terakhir di kubur sekiranya ada kematian.

"Pemberian saya adalah ikhlas kerana jasa mereka yang tidak terhingga. Saya hanya dijemput oleh pihak masjid untuk memberi sumbangan tersebut. Yang merasmikan majlis Khatam al-Quran adalah Speaker DUN," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!