Peniaga bantah larangan niaga malam raya

Sekumpulan peniaga membantah arahan dikeluarkan berhubung larangan berniaga pada malam terakhir Ramadan.
Sekumpulan peniaga membantah arahan dikeluarkan berhubung larangan berniaga pada malam terakhir Ramadan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan peniaga di Dataran Shahbandar, di sini, membantah arahan dikeluarkan kerajaan Terengganu supaya operasi perniagaan pada malam terakhir Ramadan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dihentikan.

Peniaga pakaian terpakai, Sukri Abu, 53, berkata, ia kerana malam sebelum Aidilfitri adalah peluang untuk mereka mendapatkan pelanggan setelah prestasi perniagaan 'suram' sepanjang hampir tiga minggu beroperasi.

"Biasanya, seminggu nak raya baru ramai pelanggan. Memang kerajaan baharu ni bagi kita niaga 29 hari, tetapi, tak berbaloi juga sebab pada permulaan Ramadan, niaga memang 'sakit'. Tak ada langsung pelanggan.

"Boleh bilang dengan jari saja ramai mana yang lalu di lokasi kami ini pada awal Ramadan. Barang memang tak laku. Ni dekat nak raya baru kami boleh dapat pelanggan," katanya ketika ditemui di Dataran Shahbandar, malam tadi.

Sukri (dua, kiri) menceritakan situasi sebenar dialami peniaga bazar Ramadan Dataran Shahbandar tahun ini.
Sukri (dua, kiri) menceritakan situasi sebenar dialami peniaga bazar Ramadan Dataran Shahbandar tahun ini.

Mengulas lanjut, Sukri berkata, kesemua peniaga kesal dengan pelbagai masalah yang perlu ditempuhi sepanjang proses untuk menjalankan perniagaan di situ.

"Awal-awal dulu kami berdepan masalah pembahagian tapak dengan pertama kali agihan tapak melalui proses sebut harga, selepas itu isu elektrik dan kini kami terpaksa pula lalui arahan baharu iaitu larangan niaga pada malam raya.

"Masalah-masalah sebelum ini kami boleh 'hadam', tetapi larangan niaga malam raya memang kami tak boleh terima dan nampaknya ia benar-benar menindas peniaga," katanya yang telah lebih 15 tahun berniaga di situ.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peniaga, Azlina Ariffin, 32 dari Kampung Pulau Kambing berkata, dia kesal kerana tidak mendapat maklumat sejak awal mengenai larangan itu.

"Sepatutnya, awal-awal dulu lagi kami semua diberitahu mengenai larangan niaga pada malam raya. Saya dapat tahu ni pun setelah baca berita yang viral (tular) di Facebook. Memang rasa kesal sebab biasanya malam raya itulah kami akan bayar gaji pekerja dan menjual barangan yang ada.

Kumpulan peniaga itu meluahkan rasa kesal susulan larangan menjalankan operasi perniagaan pada malam raya.
Kumpulan peniaga itu meluahkan rasa kesal susulan larangan menjalankan operasi perniagaan pada malam raya.

"Kalau ada stok banyak tapi tak laku sebab tiada pelanggan pun tak guna juga. Boleh dikatakan kami semua hampir 1,000 peniaga di sini kecewa dengan arahan itu dan memohon supaya pihak kerajaan turun ke bawah, meninjau sendiri situasi perniagaan kami di sini," katanya yang menjalankan perniagaan menjual kekacang.

Senada dengan Azlina, Abdul Ghanee Zailan, 34, dari Bukit Payong berkata, dia berharap supaya kerajaan Terengganu dapat mempertimbangkan kembali arahan dikeluarkan itu.

"Saya mewakili semua peniaga pakaian memohon supaya perkara ini diberi perhatian kerana situasi perniagaan kami tahun ini memang amat teruk.

"Sekiranya Menteri Besar Terengganu atau Exco Kerajaan Negeri belum dapat gambaran jelas, kami mohon supaya dapat bertemu mata untuk ceritakan hal yang sebenar, apa yang kami alami.

"Malam raya biasanya pelanggan lebih ramai dari biasa sebab mereka akan tunggu jualan murah. Kalau kata beri kami 29 hari berniaga, tak guna juga sebab tak ada orang datang pun masa awal-awal niaga hari itu. Ramai peniaga yang 'termenung' sahaja berbanding yang dapat pelanggan," katanya.

ABDUL GHANEE
ABDUL GHANEE

Tambahnya lagi, jika larangan itu disebabkan masalah sampah sarap, para peniaga bersetuju untuk sepakat menyediakan plastik sampah supaya ia tidak menjejaskan pemandangan pada 1 Syawal.

"Kami boleh kumpul duit untuk beri plastik hitam pada setiap peniaga asalkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sediakan tong sampah yang besar dan lebih banyak supaya mudah ia dikumpul setempat," katanya.

Terdahulu, kerajaan Terengganu mengeluarkan arahan supaya semua peniaga bazar Ramadan di bandaraya ini menamatkan operasi perniagaan pada 29 Ramadan berbanding kelaziman sehingga awal pagi Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, penamatan operasi lebih awal itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Katanya, selain itu, ia sebagai galakan bagi umat Islam supaya mengimarahkan malam Aidilfitri bersama jemaah di masjid dan ahli keluarga.

Pada tahun ini, buat pertama kali operasi perniagaan di Dataran Shahbandar dilanjutkan daripada 14 hari kepada 29 hari.