Berbuka puasa dalam kuil Sikh: Sultan Johor dukacita

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berdukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir yang telah menjemput umat Islam negeri ini menyertai satu majlis berbuka puasa di kuil Sikh, baru-baru ini.

Lebih mengecewakan, titah Sultan Ibrahim, pemimpin itu juga langsung tidak merujuk dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINj) sebelum melaksanakan program berkenaan.

“Saya merasa amat dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru (Akmal Nasir) yang menjemput dan menyertai Majlis Iftar Muhibbah di Guardwara Johor Bahru pada 28 Mei lalu.

“Ahli Parlimen ini juga tidak pernah merujuk kepada pihak berautoriti iaitu Majlis Agama Islam. Walaupun majlis ini telah menerima bantahan daripada masyarakat, ia tidak dapat lari daripada fakta yang majlis itu dibuat atas nama ibadah berbuka puasa.

“Sungguhpun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, beliau tetap ingkar dan meneruskan majlis ini atas dasar toleransi dan perpaduan antara kaum.

"Walhal sebagai seorang pemimpin seharusnya beliau sedar, tahu dan faham untuk membezakan tindakan politik atau agama,” titahnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, kesucian agama Islam tidak seharusnya dicemari dengan aktiviti ahli-ahli politik yang dilihat tidak memikirkan implikasi atau kesan buruk daripadanya.

“Ahli-ahli politik negeri ini datang dan pergi tetapi kesan perbuatan negatif seperti ini telah mengakibatkan luka yang dalam serta berpanjangan terhadap Bangsa Johor.

Artikel Berkaitan:

“Adalah sedia maklum bahawa penganut agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka kepada umat Islam.

"Namun apabila seorang Muslim secara sengaja menghadirkan diri secara sengaja ke kuil atas alasan mahu berbuka puasa dengan orang bukan Islam maka perkara ini telah membuka ruang kepada golongan bukan Islam untuk mendakyahkan agama mereka," titah baginda.

Titah baginda lagi, perbuatan ini menjadi lebih serius kesannya apabila pemimpin politik beragama Islam sendiri menghadirkan diri ke kuil dengan menggunakan platform berbuka puasa.

"Jika dilihat tindakan ini sekali gus akan memberi kesan tidak baik sekiranya dijadikan teladan atau ikutan,” titahnya.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim turut menegaskan yang pihaknya tidak akan lagi membenarkan mana-mana tindakan menjatuhkan nilai Islam dilakukan sesuka hati oleh pihak tertentu.

“Saya dan keluarga kerap kali hadir dalam meraikan perayaan kaum dan agama lain di negeri ini, tetapi bukan membawa amalan ibadah agama Islam di premis mereka sebagaimana dilakukan ahli Parlimen tersebut,” titahnya.